Fahmi( depan, empat dari kiri) bergambar bersama pelajar Kolej Tingkatan Enam pada program tersebut.
KOTA KINABALU: Kempen Internet Selamat (KIS) kini giat diperluas ke institusi pendidikan seluruh Sabah sebagai langkah proaktif memperkukuh kesedaran keselamatan siber dalam kalangan generasi muda.
Setakat Oktober 2025, sebanyak 434 daripada 4,734 institusi pendidikan yang menyertai kempen ini adalah dari Sabah yang mencerminkan penerimaan tinggi dan kesungguhan negeri ini dalam memperkukuh keselamatan siber dalam kalangan generasi muda.
Usaha ini diperkukuh melalui penganjuran program KIS di Kolej Tingkatan Enam (Prauniversiti) Kota Kinabalu pada Khamis melibatkan 756 pelajar dan disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil. Program itu memfokus kepada kesedaran keselamatan siber serta amalan penggunaan internet secara beretika dan bertanggungjawab.
Pelajar turut didedahkan kepada isu semasa seperti penipuan dalam talian, buli siber, perkongsian maklumat peribadi dan penularan maklumat palsu. Pendekatan interaktif digunakan bagi membantu peserta mengenal pasti risiko, memahami taktik manipulasi siber dan menilai kesahihan maklumat sebelum berkongsi.
Penekanan turut diberikan terhadap keperluan menjaga keselamatan digital peribadi, khususnya dalam penggunaan media sosial agar tidak terdedah kepada penyalahgunaan data dan ancaman siber.
Kempen ini menjadi tonggak utama dalam membentuk generasi celik digital yang bukan sahaja mahir teknologi, tetapi juga memiliki kesedaran etika dan tanggungjawab dalam dunia siber.
Terdahulu, Datuk Fahmi turut menyantuni dua penduduk tempatan, Lee Fong Boon @ Richard, 48, dan Gakim Guntidong, 65, di Kolombong.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa; Timbalan Pengarah Urusan Kawal Selia dan Korporat MCMC, Datuk Zurkarnain Mohd Yasin; dan Pengetua Kolej Tingkatan Enam Prauniversiti Kota Kinabalu, Suhaibul Kassim.
































