Armizan Mohd. Ali (tengah) bersama para pemimpin GRS.
KOTA KINABALU: Rakyat Sabah diseru menilai dengan teliti rekod sebenar setiap parti politik yang pernah memegang tampuk kuasa di negeri ini dalam konteks menuju Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), kata Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd. Ali.
Beliau berkata, sama ada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan, Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) — semuanya pernah berada dalam kedudukan untuk menunaikan janji kepada rakyat Sabah.
Katanya, perjuangan menuntut hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta pelaksanaan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan merupakan ukuran jelas terhadap komitmen sesebuah kerajaan dalam mempertahankan hak negeri ini.
“Malangnya, kadar Pemberian Khas Sabah sebanyak RM26.7 juta tidak pernah disemak selama lebih 45 tahun sejak tahun 1973, di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu termasuk BN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Armizan berkata, walaupun Parti Warisan mengambil alih pentadbiran negeri pada 2018 dengan slogan “Sabah Ubah” dan “Selamatkan Sabah”, kadar pemberian khas itu hanya dinaikkan kepada RM53.4 juta hasil keputusan kabinet Warisan bertarikh 16 Oktober 2018.
Sebaliknya, katanya, selepas kerajaan negeri bertukar pada September 2020, Kerajaan Negeri GRS di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mengambil langkah proaktif dengan memulakan rundingan semula bersama Kementerian Kewangan Malaysia.
“Hasilnya, kadar Pemberian Khas Sabah berjaya dinaikkan kepada RM125.6 juta bagi tahun 2022, meningkat kepada RM300 juta pada 2023, RM306 juta (2024) dan dijangka mencecah RM600 juta pada 2025,” katanya.
Menurutnya, langkah itu membuktikan kesungguhan Kerajaan GRS dalam memperjuangkan hak Sabah selaras dengan semangat MA63, tanpa prejudis terhadap hak negeri untuk menuntut 40 peratus hasil bersih yang dikutip di Sabah.
“Rakyat wajar menilai sendiri — adakah benar slogan ‘Selamatkan Sabah’ yang dilaungkan Warisan berjaya menyelamatkan hak negeri, atau sebenarnya Sabah kini diselamatkan oleh tindakan tegas Kerajaan GRS?” katanya.
Armizan turut menimbulkan dua persoalan utama yang memerlukan penjelasan daripada Presiden Warisan berdasarkan keputusan kabinet parti itu pada 16 Oktober 2018.
“Pertama, apakah asas kepada persetujuan kadar hanya RM53.4 juta pada masa itu? Kedua, mengapa kerajaan negeri Warisan tidak menuntut kadar yang lebih munasabah, sedangkan ketika itu mereka mempunyai pengaruh besar dalam Kerajaan Persekutuan?” katanya.
Katanya lagi, rakyat Sabah berhak mengetahui kebenaran di sebalik setiap slogan dan janji politik yang digunakan oleh mana-mana parti.
“GRS kekal komited untuk memperjuangkan hak negeri ini secara berprinsip dan berasaskan fakta, bukan sekadar retorik,” tegas beliau.
































