Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal diadakan tidak lama lagi, Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyeru rakyat untuk meneruskan semangat perjuangan yang menjadi asas kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sejak penubuhannya.
Beliau berkata, semangat itu terserlah melalui konsep #RumahKitaKitaJaga dan #KitaJagaSabah yang diperkenalkan oleh Pengerusi GRS dan Presiden Gagasan Rakyat Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor pada 2 Mac 2023 semasa pelancaran rasmi parti tersebut.
“Konsep ini bukan sekadar slogan, tetapi merupakan falsafah politik yang menekankan tanggungjawab bersama untuk menjaga negeri Sabah dengan semangat perpaduan, tolong-menolong dan kebersamaan tanpa mengira latar belakang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Nizam, kedua-dua konsep tersebut melengkapi empat teras utama perjuangan GRS iaitu #SabahFirst, #SabahForward, #SabahProsper, dan #SabahUnited – yang digerakkan berasaskan semangat #SayangiSabah, sebagaimana yang dilaungkan ketika pelancaran rasmi GRS pada 28 Mei 2022.
“Teras-teras ini membentuk hala tuju perjuangan GRS untuk memastikan negeri Sabah ditadbir dengan memberi keutamaan kepada rakyatnya sendiri, berpandangan jauh ke hadapan, makmur secara menyeluruh dan bersatu padu dalam kepelbagaian,” ujarnya.
Nizam berkata, semangat perjuangan itu diteruskan lagi dengan lahirnya gagasan #SabahTanahAirku pada Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat pada Julai 2025, yang meneguhkan nilai kecintaan, kesetiaan dan tanggungjawab terhadap Sabah.
“#SabahTanahAirku mencerminkan tekad GRS untuk terus memperjuangkan kesejahteraan rakyat melalui pembangunan yang berasaskan cinta tanah air dan perpaduan sebenar,” katanya.
Tambahnya, tagline #SabahTanahAirku melambangkan kesinambungan perjuangan GRS – daripada membina rumah yang kukuh untuk rakyat, menjaga negeri dengan kasih sayang, membawa Sabah ke hadapan melalui kemajuan, hingga menyatukan semua rakyat dalam satu cita-cita bersama untuk menjadikan Sabah sebuah negeri yang lebih maju, berjaya dan sejahtera.
“Dalam PRN Sabah kali ini, marilah kita bersama GRS meneruskan perjuangan ini demi masa depan negeri tercinta,” katanya.
Beliau turut mengulangi seruan untuk memperkukuh semangat kebersamaan melalui mesej yang terus menjadi pegangan GRS – #RumahKitaKitaJaga, #KitaJagaSabah, dan #SabahTanahAirku.