KOTA KINABALU: Festival North Borneo Rainforest Festival (NBRF) kembali dengan edisi antarabangsa bertemakan “Pisompuruan (Tempat Berkumpul/Bersatu)” bagi meraikan warisan, budaya dan keindahan alam Borneo.
Festival ini akan berlangsung pada 11 dan 12 Oktober 2025 di Koisaan Cultural Village (KDCA), Penampang.
Tema tahun ini menekankan semangat penyatuan komuniti melalui seni, budaya dan alam semula jadi, menjadikan NBRF sebagai platform inklusif untuk masyarakat berkumpul, bertukar pandangan dan meraikan warisan Borneo dalam konteks moden.
Bagi edisi kali ini, NBRF 2025 menerima tujuh delegasi orang asli dari Taiwan — Pinuyumayan, Bunun, Paiwan, Tsou, Kebalan, Pangcah dan Seediq — yang akan memperkayakan interaksi silang budaya antara komuniti tempatan dan antarabangsa.
Festival ini menampilkan empat segmen utama, iaitu Pameran Pisompuruan, Persembahan Budaya (Cultural Showcase), Acara Pentas, dan Aktiviti Komuniti.
Antara tarikan utama tahun ini ialah “Populi” oleh kumpulan Gonding Gen — satu ritual tradisional yang hampir pupus dan akan dihidupkan semula buat kali pertama di NBRF. Upacara ini akan berlangsung pada 12 Oktober 2025, jam 6 petang, bermula di pintu masuk Koisaan Cultural Village dan dipimpin oleh aktivis budaya Adrian Soidi, pengasas kumpulan Gonding Gen.
Sebanyak 12 rumah tradisional di Koisaan Cultural Village akan dihidupkan sebagai mini muzium interaktif, mempamerkan seni, warisan dan hubungan manusia dengan alam.
Antara pameran menarik termasuk:
Rumah Papar (SAFODA): aktiviti “Create Your Own Mini Forest” dengan 200 set terrarium terhad dan program adopt a tree.
Rumah Papar (PACOS Trust & Persatuan Bobolian Sabah): pameran Bundusan: The Forgotten Mat serta artifak suci Bobolian.
Rumah Rungus (Ansamung): Unfolding the Cultural Identity of the Rungus Tribe menampilkan persembahan dan demonstrasi kraf.
Rumah Tenom (Mira Hector & Mitchrons): Papak — pameran seni tatu tradisional dan makna budaya di sebalik coraknya.
Rumah Kota Belud (Pison): Ropuhan di Tanak Wagu — memperkenalkan seni masakan tradisi dan budaya kulinari tempatan.
Barisan persembahan NBRF 2025 merangkumi kolaborasi artis tempatan dan antarabangsa termasuk DJ Morestyles (United Kingdom), Bung Jae (Brunei), Mathew Ngau (Sarawak), serta artis Sabah seperti Aki Yutam Miki, George Albert Nuli, Rolou Pomogunan, dan RINDUOG (AkiEto & Iko Teguh).
Selain itu, program khas “Voices of the Rainforest” akan menampilkan demonstrasi alat muzik tradisional seperti seruling hidung Urali, bungkau, sompoton, dan sape, serta nyanyian suci Pasibutbut oleh kumpulan Bunun dari Taiwan.
Pentas utama Pisompuruan di Rumah Murut akan menjadi tumpuan pada malam 11 dan 12 Oktober dengan persembahan budaya antarabangsa dan tempatan.
Selain itu, Tamu Pisompuruan dan Tamu Keusahawanan Kita-Kita akan menghimpunkan lebih 80 vendor mempamerkan kraftangan, makanan tradisi dan produk keusahawanan tempatan.
Turut diadakan ialah Konsert A-Bayu Rockmantis 2.0 di Dewan KDCA pada 11 Oktober — sebuah persembahan muzik kolaboratif khas yang menggabungkan elemen moden dan tradisional.
Menurut penganjur, NBRF 2025 bertujuan menghidupkan semula semangat hutan hujan melalui bunyi, seni dan penyertaan masyarakat. Setiap persembahan dan pameran berfungsi sebagai jambatan antara generasi dalam menghormati kebijaksanaan leluhur dan kreativiti masa kini.
Harga tiket dalam talian ialah:
1-Day Pass: Dewasa RM5 | Remaja RM3
2-Day Pass: Dewasa RM8 | Remaja RM5
Masuk percuma bagi kanak-kanak bawah 11 tahun dan warga emas 60 tahun ke atas.
Orang ramai boleh mendapatkan tiket melalui kod QR pada poster rasmi atau laman media sosial rasmi NBRF di Instagram, Facebook dan TikTok.