Mansur ketika ditemui media.
KOTA KINABALU: Sebanyak 30 kontinjen membabitkan 9,000 individu bakal memeriahkan temasya Sukan Sabah (SAGA) XI Tawau 2025 yang akan membuka tirainya Sabtu ini.
Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mansur Asun, berkata penyertaan kali ini turut melibatkan kontinjen dari Sook dan Paitan yang kini diiktiraf sebagai daerah penuh.
“Pada temasya kali ini, sebanyak 23 jenis sukan akan dipertandingkan melibatkan 217 acara keseluruhan.

Mansur (depan, kiri) bergambar kenangan bersama pengacara KBI selepas slot temubual.
“Kita jangkakan lebih 7,000 atlet akan mengambil bahagian, dan dengan pegawai serta pengurus pasukan, jumlah keseluruhan melebihi 9,000 orang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas slot temu bual rancangan Kami Bah Ini! di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi di sini, pada Isnin.
Menurut Mansur, Taekwondo menjadi sukan baharu yang diperkenalkan dalam edisi kali ini selaras dengan perkembangan serta minat belia Sabah terhadap sukan tempur moden.
“Selain itu, antara acara tumpuan adalah olahraga dan sukan berpasukan, selain Muay Thai yang menjadi antara kekuatan Sabah,” tambah beliau.
Beliau memaklumkan tujuan utama SAGA adalah sebagai platform mencungkil bakat baharu untuk diketengahkan mewakili negeri ke Sukan Malaysia (SUKMA) tahun depan.
“Melalui temasya ini juga dapat melahirkan atlet pelapis berpotensi yang mampu mewakili Sabah ke SUKMA dan seterusnya mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa,” jelasnya.
Mansur turut berpesan agar semua atlet bertanding dengan semangat kesukanan dan mematuhi peraturan supaya imej sukan Sabah terus terpelihara.
Temasya SAGA XI Tawau 2025 akan berlangsung selama tujuh hari bermula 11 hingga 18 Oktober di sekitar daerah Tawau.