Aziah dan Rohani bergambar kenangan bersama para penerima sijil Master Reiki.
KOTA KINABALU: Seramai 53 graduan berusia antara 18 hingga 67 tahun diraikan dalam Majlis Konvokesyen Master Reiki Ke-5 Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini kelmarin.
Majlis itu dianjurkan oleh Anggun Creative Management bagi mengiktiraf para graduan sebagai pengamal terapi bertauliah menerusi penganugerahan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
Turut hadir, Pengurus Anggun Creative Management, Hajah Rohani Kassim bersama para penerima sijil.
Majlis disempurnakan oleh Naib Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Aziah Atoh yang juga Timbalan Pengerusi Asian Supply Base Sdn. Bhd.
Dalam ucapannya, Aziah merakamkan penghargaan kepada penganjur atas kejayaan melahirkan lebih ramai pengamal terapi berkemahiran dan berkelayakan yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat.
“Rawatan Reiki merupakan salah satu bentuk terapi alternatif yang menyumbang kepada kesejahteraan mental, emosi dan spiritual. Kehadiran para pengamal Reiki diharap dapat menjadi agen penyebar aura positif dan membantu lebih ramai masyarakat di luar sana.
“Master Reiki bukan sekadar ilmu penyembuhan alternatif, tetapi juga seni mengurus tenaga dalaman bagi membentuk kesejahteraan fizikal, mental dan spiritual,” katanya.
Beliau turut menyeru agar para graduan menggunakan ilmu Reiki yang diperoleh untuk terus berbakti kepada masyarakat serta menjadi agen keseimbangan dalam kehidupan seharian.
Aziah menambah, penganjuran majlis itu bukan sahaja memperkukuh jaringan pengamal terapi alternatif, malah membuktikan bahawa bidang Reiki semakin diyakini dan mendapat perhatian masyarakat.
































