Zara Qairina Mahathir
KOTA KINABALU: Salah seorang rakan dorm Allahyarham Zara Qairina Mahathir memberitahu bahawa remaja terbabit kelihatan terganggu selepas disoal oleh beberapa pelajar senior pada malam 15 Julai 2025.
Menurut Utusan Malaysia, saksi kanak-kanak itu memberitahu, apabila Zara Qairina balik ke dorm, remaja itu terus baring di lantai dan menangis sebelum menjerit ‘aku nda curi bah, sial’.
Kata saksi itu, Zara Qairina tidak pernah berkelakuan sedemikian sebelum ini.
Selain itu, saksi memberitahu, sebelum soal siasat pada malam 15 Julai lalu, Zara Qairina tidak pernah dipanggil oleh mana-mana senior.
Kata saksi berkenaan, dia tidak pernah nampak Zara Qairina diganggu oleh mana-mana pelajar dan tidak tahu sama ada arwah pernah melakukan perbuatan yang melanggar peraturan asrama.
Katanya, Zara Qairina juga tidak pernah mengadu tentang masalah persendirian atau konflik dengan sesiapa atau mengadu tentang gangguan semasa di asrama seperti buli, tekanan belajar dan keletihan.
Walau bagaimanapun, saksi itu menyatakan bahawa Zara Qairina pernah dilihat dalam keadaan murung sekitar April lalu.
Katanya, Allahyarham pernah bertanya kepadanya adakah akan berasa sedih jika sesuatu berlaku padanya.
Saksi berkenaan selesai memberi keterangan pada pukul 2.15 petang selaku saksi ke-15 inkues, kemudian disambung saksi kanak-kanak kelapan.
Saksi kanak-kanak kelapan akan menyambung keterangannya pada 7 Oktober ini.