Ahli arkeologi melakukan pemeriksaan terhadap perahu purba yang ditemukan di Florida pada 2022.
FLORIDA: Status sebuah perahu kayu dipercayai berasal dari zaman purba yang ditemukan di Fort Myers semasa kerja-kerja pembersihan pasca bencana dilakukan susulan Taufan Ian membadai Florida pada 2022 kini sudah disahkan.
Menurut Utusan Malaysia, perahu sepanjang 2.7 meter itu melalui proses pemuliharaan rapi oleh ahli arkeologi negeri dan disahkan sebagai penambahan unik kepada koleksi lebih 450 buah perahu balak atau kanu purba yang pernah direkodkan atau dipulihara oleh Bahagian Sumber Sejarah Florida.
Menurut pegawai, penemuan ini istimewa kerana ia dipercayai satu-satunya perahu purba yang diperbuat daripada kayu mahogani dan berkemungkinan besar berasal dari luar Florida, mungkin dari Caribbean.
Usia sebenar perahu rapuh itu masih dalam kajian melalui analisis penentuan usia karbon dan kaedah saintifik lain. Penyelidik turut mengemukakan teori ia mungkin sebuah perahu tradisional hasil tangan penjajah Sepanyol yang tiba di rantau tersebut sekitar abad ke-16.
“Kami membandingkannya dengan koleksi perahu yang sedia ada, dan bentuknya ternyata berbeza menunjukkan itu petanda awal ia bukan berasal dari Florida.
“Pada permukaannya terdapat kesan peralatan besi, dan kita tahu ia hanya wujud selepas orang Eropah memperkenalkan besi ke benua Amerika,” kata Timbalan Ahli Arkeologi Negeri Florida, Sam Wilford.
Bagaimanapun, usaha menentukan tarikh lebih tepat masih belum muktamad. Dua sampel yang dihantar untuk ujian radiokarbon menunjukkan hasil lebih awal daripada jangkaan.
“Mungkin terdapat bahan seperti bitumen pada permukaan yang mengganggu ujian radiokarbon, atau tarikh yang terhasil sebenarnya merujuk kepada tarikh pokok itu mati, bukan masa perahu dibina,” jelas Wilford.
Katanyah, kayu tersebut mungkin berasal daripada hanyutan atau disimpan lama sebelum dijadikan perahu.
Taufan Ian yang melanda Florida pada September 2022 membawa angin kencang sehingga 150 batu sejam serta ombak setinggi 5.4 meter, menyebabkan kerosakan dahsyat di barat daya negeri itu.
Perahu tersebut dipercayai terseret keluar dari dasar sungai dan akhirnya ditemukan di halaman rumah seorang penduduk Fort Myers, yang kemudian melaporkan penemuan itu kepada pihak berkuasa.