Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menegaskan komitmen untuk memperkukuh industri halal sebagai antara sektor berpotensi besar menjana pertumbuhan ekonomi, sekali gus membuka peluang luas kepada usahawan tempatan menembusi pasaran antarabangsa.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, industri halal kini berkembang pesat dengan nilai dagangan global mencecah berbilion dolar, malah telah menjadi penyumbang utama kepada perdagangan antarabangsa.
“Industri halal hanya akan berjaya jika kita bergerak bersama. Dengan adanya sokongan menyeluruh daripada Kerajaan, agensi, sektor swasta dan komuniti usahawan, produk Sabah berpotensi besar menembusi pasaran luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan MyHalal Day Sabah 2025 di Dewan Sa’adah, Wisma MUIS, di sini, hari ini. Ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) telah menyediakan peruntukan khas sebanyak RM5,000 kepada usahawan kotej dan mikro.
Bantuan itu, jelasnya, disalurkan dalam bentuk peralatan asas bagi meningkatkan operasi perniagaan. Namun, syarat utama adalah usahawan perlu terlebih dahulu mengikuti Kursus Pengendalian Makanan Dalam Islam yang dikendalikan MUIS Halal Hub.
“Pensijilan halal bukan sahaja melambangkan kualiti, kebersihan dan integriti produk, malah ia adalah kunci utama untuk menembusi pasaran halal yang semakin berkembang sama ada di Sabah, Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa.
“Dengan menyertai industri halal, usahawan dapat meningkatkan daya saing mereka di pasaran global. Justeru, pengusaha IKS di Sabah akan terus diperkasa menerusi MUIS Halal Hub,” katanya.
Hajiji turut berharap MyHalal Day mampu melahirkan lebih ramai usahawan halal yang berdaya saing, sekali gus mengangkat nama Sabah sebagai antara pemain utama industri halal serantau.
Beliau berkata, penganjuran selama tiga hari bermula Jumaat lalu memberi manfaat besar kepada peserta melalui pelbagai pengisian, termasuk klinik halal, kursus pengendalian makanan, ceramah digital halal, selain perkongsian perbankan mengenai skim bantuan pensijilan halal.
“Program sebegini meningkatkan kesedaran usahawan untuk memohon sijil halal, selain melengkapkan mereka dengan pengetahuan asas yang diperlukan bagi memperkukuh daya saing produk,” jelasnya.