Antara pemenang dalam SFOI Zon Kota Marudu
KOTA MARUDU: Sabah Festival of Ideas (SFOI) 2025 Zon Kota Marudu berlangsung meriah di Dewan PPR Kg. Korongkom di sini semalam dengan lebih 400 peserta dan pengunjung menghadiri program itu.
Dua pertandingan utama iaitu Pertandingan Inovasi Kearifan Lokal (PIKL) dan STEMQuest Ignite 2025 menjadi tumpuan dengan penyertaan luas dari Kota Marudu, Kudat, Kota Belud, Pitas, Ranau dan Kota Kinabalu.
Bagi PIKL, sebanyak 16 penyertaan dipamerkan dengan menonjolkan kearifan tradisi masyarakat tempatan.
Sembilan pasukan berjaya meraih Anugerah Khas iaitu Permata Kearifan, Khazanah Terbilang dan Ilham Tradisi, manakala pemenang pingat emas secara automatik layak ke Grand Finale SFOI Negeri Sabah 2025 pada 16 hingga 17 Okt ini di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Sementara itu, STEMQuest Ignite 2025 menyaksikan penyertaan 26 pasukan sekolah rendah dan menengah dengan menampilkan idea kreatif berasaskan STEM. Tiga sekolah berjaya meraih STEM Explorers Award, STEM Innovators Award dan STEM Pioneers Award, sekali gus melayakkan mereka ke Grand Finale di UMS.
SFOI merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di bawah pimpinan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, sebagai platform meraikan idea, inovasi dan bakat generasi baharu.
Program itu turut mendapat sokongan padu daripada UMS, Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Perbadanan Pinjaman Sabah dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), selain kerjasama Pejabat Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah serta Majlis Daerah Kota Marudu.
Selepas Kota Marudu, zon terakhir SFOI 2025 akan berlangsung di Tuaran pada 4 dan 5 Okt ini bertempat di Dewan Masyarakat Tun Hamdan, Tamparuli.
Untuk rekod, SFOI 2025 bukan sekadar pertandingan, tetapi sebuah gerakan untuk membudayakan inovasi, memperkasa kearifan lokal serta memupuk minat terhadap STEM dalam kalangan generasi muda.