Ewon menyampaikan sumbangan berupa bantuan peralatan kepada salah seorang peserta kursus, Elinah Pitah.
KOTA BELUD: Yayasan Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) memperuntukkan lebih RM300,000 untuk membimbing 30 usahawan tempatan Sabah, menerusi Program Keusahawanan dan Kemahiran JORAN 2.0.
Program selama empat hari, di Wendu Inn Tag Valley Taginambur, itu dianjurkan dengan kerjasama Mahabbah Malaysia.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick merakamkan penghargaan kepada Yayasan KOSMA atas inisiatif melaksanakan Program JORAN 2.0 di Sabah, yang bertujuan memperkasa usahawan tempatan melalui bimbingan dan sokongan menyeluruh.
“Di bawah program ini, sebanyak 30 usahawan dipilih menyertai program bimbingan yang dilengkapi dengan bantuan kelengkapan, modal perniagaan dan pemantauan sehingga enam bulan.
“Saya hargai sumbangan dan peranan Yayasan KOSMA dalam melengkapkan usaha Kerajaan dan Kementerian dalam membangunkan keusahawanan di negara kita,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Keusahawanan dan Bimbingan JORAN 2.0, di Tag Valley, Taginambur, di sini, hari ini.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, berharap para peserta yang terpilih terus mencipta kejayaan dan menjadi inspirasi serta motivasi kepada usahawan lain, sebagaimana kejayaan peserta JORAN 1.0.
“Semoga para peserta terus berjaya serta menjadi inspirasi kepada usahawan-usahawan lain untuk turut sama mencipta kejayaan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi KOSMA, Datuk Haji Zamri Haji Mohamed, berkata lebih RM300,000 diperuntukkan untuk melaksanakan program tersebut di Sabah.
Beliau berkata,, kejayaan JORAN 1.0 menjadi bukti keberkesanan pendekatan ini apabila 30 peserta pertama berjaya meningkatkan pendapatan keseluruhan daripada RM300,000 kepada hampir RM500,000 dalam tempoh enam bulan.
“Kami berharap peserta JORAN 2.0 akan mencatat kejayaan yang lebih besar dan menjadi pemangkin kepada pembangunan usahawan baharu di seluruh negara,” katanya dan menambah siri program seterusnya akan diadakan di Pahang.