PETALING JAYA: Kerajaan mengumumkan bantuan segera kepada sekolah terjejas banjir di Sabah bagi memastikan proses baik pulih dapat dilaksanakan.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, beberapa fasiliti penting seperti bilik darjah, kelas prasekolah dan pejabat di aras bawah sekolah terlibat mengalami kerosakan teruk dan memerlukan baik pulih.
“Saya mengambil perhatian penuh kekerapan sekolah-sekolah dilanda banjir yang memerlukan penyelesaian jangka panjang yang tuntas.
“Kementerian Pendidikan menerusi Jabatan Pendidikan Negeri Sabah sedang mengambil langkah terbaik bagi menangani isu ini,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook.
Semalam, Fadhlina melakukan lawatan kerja ke Sabah dan meninjau keadaan di Sekolah Kebangsaan (SK) Lago, SK Kampung Brunei dan SK Pengiran Jaya yang terjejas bencana banjir, baru-baru ini.
Lawatan tersebut disertai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd. Arifin Mohd Arif; Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah; Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching dan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan terjejas serta pemimpin komuniti setempat.