PETALING JAYA: Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada ketika tempoh fasa peralihan monsun yang dijangka bermula 30 September ini dan beterusan sehingga November depan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd Anip berkata, semasa fasa itu, beberapa negeri akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah.
Katanya, keadaan itu boleh menggalakkan pembentukan awan ribut petir yang lazimnya membawa kepada kejadian hujan lebat serta angin kencang dalam tempoh singkat.
“Ia boleh berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah dan Sarawak.
“Fenomena cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang, kepala air serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fasa peralihan itu juga menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang bermula sejak 10 Mei lalu.
Susulan itu, beliau menyarankan orang ramai sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh jabatan itu melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi.