Zara Qairina Mahathir
KOTA KINABALU: Saksi kanak-kanak kelima mengesahkan kewujudan kumpulan `Circle 19′ di Asrama Qurratu ‘Ayun di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar.
Menurut Utusan Malaysia, walaupun mengakui dia merupakan salah seorang ahli kumpulan tersebut, namun saksi kanak-kanak kelima itu memberitahu dia tidak masuk campur dalam soal siasat terhadap pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir berhubung kes curi dompet pada malam, 15 Julai lalu.
Difahamkan terdapat ahli `Circle 19′ yang terlibat dalam soal siasat terhadap Zara Qairina.
Bagaimanapun, saksi itu memberitahu ada ternampak pelajar yang sedang melihat surat berlipat bersama beberapa pelajar lain dalam keadaan semasa berdekatan dengan Zara yang masih duduk atas lantai sambil menundukkan kepalanya.
Dua hari lalu, saksi kanak-kanak kedua dalam keterangannya memberitahu bahawa Zara Qairina telah ditahan dan dikepung di satu sudut dorm, beberapa jam sebelum remaja terbabit ditemukan dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri.
Dalam kejadian itu, beberapa pelajar yang menyoal siasat Zara Qairina berhubung insiden kecurian di asrama terbabit turut mentertawakannya selepas mengetahui hasratnya untuk menjadi Badar (Badan Dakwah dan Kerohanian) melalui sepucuk surat yang dipercayai ditulis oleh remaja terbabit.
Asrama Qurratu ‘Ayun mempunyai dua blok kediaman pelajar perempuan iaitu Blok A, Rabiatul Adawiyah yang merupakan blok kediaman Zara Qairina dan lokasi remaja terbabit ditemukan tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu.
Sebuah lagi blok yang menempatkan pelajar perempuan di asrama berkenaan ialah merupakan Blok B, Sumayyah.
Menurut kenyataan diberikan oleh pasukan peguam yang diketuai oleh peguam Rizwandean M. Borhan dan Shahlan Jufri yang mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada Zara Qairina, saksi berkenaan memberitahu kumpulan tersebut dinamakan sedemikian kerana ia mempunyai 19 orang ahli, berada di tingkatan yang sama dan telah berkawan rapat sejak dari awal.
Saksi itu turut memberitahu bahawa sebelum kejadian, Zara Qairina merupakan seorang yang ceria, peramah, dan tidak menunjukkan tanda-tanda masalah mental atau tekanan emosi.
Pada 12 September lalu, pengawal keselamatan, Linah Mansoding @ Jaliha mendedahkan kewujudan kumpulan `High Council’ di asrama berkenaan.
High Council merupakan drama bersiri di stesen televisyen berbayar yang mengisahkan mengenai budaya gengsterisme dan buli dalam sebuah sekolah berasrama penuh yang diambil daripada inspirasi kisah benar.
Terdahulu, saksi kanak-kanak keempat yang juga penghuni dorm A3-6 memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini bahawa dia ada mendengar Zara Qairina diherdik dengan perkataan-perkataan seperti `bodoh’, `sial’ dan `aku injak la kepala kau’ beberapa jam sebelum remaja terbabit ditemukan tidak sedarkan diri..
Menurut keterangan ketua warden, Azhari Abd. Sagap sebelum ini, lima pelajar membuat pengakuan bertulis ada menyoal siasat Zara Qairina pada malam, 15 Julai lalu. Zara Qairina duduk di dorm A3-5 manakala dia dipanggil untuk disoal siasat di dorm A3-6.
Saksi berkenaan menyatakan adalah perkara biasa untuk penghuni asrama tersebut menggunakan kata-kata kesat namun pada malam berkenaan, dia tidak mendengar mana-mana senior menggunakan perkataan ‘mati’ terhadap Zara Qairina.
Selain itu, saksi itu memberitahu, sepanjang waktu Zara Qairina di dalam dorm berkenaan, tidak ada mana-mana ‘kakak senior’ yang menyentuh Zara Qairina.
Tambah saksi itu, dia tidak mendengar mana-mana kakak senior mentertawakan Zara Qairina sewaktu remaja itu berada di dalam dorm berkenaan.
Pada ketika Zara Qirina disoal siasat, saksi kanak-kanak yang juga saksi inkues ke-12 sedang membaca novel di atas katil dorm berkenaan.
Ujarnya, dia tahu mengenai kes kecurian dompet dan mengetahui kakak-kakak senior tidak akan memanggil Zara Qairina sembarangan.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam, Joan Goh dan Datuk Ram Singh ketika ditemui media selepas taman prosiding inkues yang memasuki hari ke-15 hari ini.
Prosiding yang didengar oleh Koroner Amir Shah Amir Hassan bersambung Isnin ini.