BEIJING: Seorang remaja berusia 16 tahun di China yang menghabiskan enam bulan dan kira-kira 16,700 yuan (RM9,880) untuk sesi terapi pertumbuhan kehilangan semula 1.4 sentimeter (cm) tinggi badannya hanya dua minggu selepas menghentikan rawatan.
Bapanya, yang hanya dikenali sebagai Huang, memberitahu South China Morning Post ketinggian anaknya meningkat daripada 165cm kepada 166.4cm sepanjang terapi, tetapi kembali ke paras asal sejurus terapi dihentikan.
Keluarga itu membuat aduan kepada klinik berkenaan dan menerima bayaran balik penuh selepas dimaklumkan anaknya terlalu dewasa untuk rawatan tersebut.
Terapi yang ditawarkan melibatkan senaman regangan mingguan dan pemakaian peranti khas yang dikatakan dapat mengaktifkan tulang lutut.
Namun pakar endokrinologi, Dr. Wu Xueyan dari Hospital Kolej Perubatan Kesatuan Peking, menegaskan tiada bukti saintifik bahawa regangan paksa dapat menambah ketinggian secara kekal.
“Regangan mungkin menambah setengah hingga satu cm buat sementara, tetapi kesannya hilang apabila tulang belakang memendek di siang hari,” jelasnya, sambil menambah senaman biasa yang merangsang hormon pertumbuhan adalah satu-satunya cara bukan invasif yang terbukti membantu.
Huang turut mendedahkan bahawa ketinggian anaknya menurun setiap kali terlepas sesi terapi, namun pihak klinik menegaskan ia normal kerana bilangan sesi belum mencukupi.