Dr. Ramzah Dambul
KOTA KINABALU: Pertandingan Inovasi Kearifan Lokal dan STEMQuest 2025 terus meriah dengan siri jelajahnya apabila Zon Kota Marudu menjadi lokasi seterusnya esok (27 Sept).
Program berimpak tinggi itu dianjurkan bersama Institut Kajian Pembangunan (Sabah) [IDS], Universiti Malaysia Sabah (UMS), Sabah Credit Corporation (SCC) dan Putrajaya Festival of Ideas (PFOI) dengan sokongan Kementerian Pengajian Tinggi.
Pertandingan tersebut bertujuan mencungkil, mendokumentasikan serta memperkasakan pengetahuan tradisional masyarakat Sabah, meliputi makanan tradisi, perubatan herba, seni dan muzik, adat resam, falsafah hidup serta amalan keselamatan kampung.
Selain memartabatkan warisan negeri, usaha ini juga mengiktiraf kearifan lokal sebagai aset pembangunan komuniti, identiti negeri serta sumber ekonomi baharu yang boleh dipelopori oleh bakat generasi muda di peringkat sekolah.
Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul berkata, pertandingan itu bukan sahaja menjadi platform untuk melestarikan warisan, malah membuka peluang untuk adaptasi moden yang berpotensi menjana nilai komersial dan pelancongan.
“Melalui inisiatif ini, kita dapat melihat bagaimana pengetahuan tradisional boleh diangkat ke peringkat lebih tinggi, sekali gus memperkukuh jati diri negeri dan memberi nilai tambah kepada pembangunan ekonomi setempat,” katanya.
Selepas menjelajah ke Keningau, Tawau dan Sandakan, kini giliran Kota Marudu pula menjadi tumpuan. IDS menegaskan penyertaan masih dibuka kepada sekolah, individu, kumpulan dan komuniti yang ingin mempamerkan kreativiti serta daya cipta berasaskan tradisi.
Selesai penganjuran di Kota Marudu, siri jelajah akan diteruskan ke Tuaran pada 4 dan 5 Oktober depan sebagai zon terakhir sebelum pemenang dari setiap zon mara ke peringkat akhir negeri dan kebangsaan di UMS.
Pertandingan ini turut diselaraskan dengan Jelajah Putrajaya Festival of Ideas (PFOI) sebagai tanda penghargaan terhadap daya cipta rakyat tempatan dan kesinambungan usaha memperkasa ilmu tradisional dalam era moden.
Sehubungan itu, IDS mengajak masyarakat khususnya di Kota Marudu dan kawasan berdekatan untuk mengambil peluang menyertai, hadir memberi sokongan, sekali gus bersama-sama menjadikan kearifan lokal sebagai khazanah negeri dan sumber inspirasi pembangunan.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Penyelaras Program, Puan Addellyne Christie melalui e-mel di Addellyne.christie@ids.org.my, talian 088-450500 atau media sosial rasmi IDS Sabah.