Johainizamshah Haji Johari
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Lamag, Johainizamshah Haji Johari menempelak kenyataan Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman yang disifatkan sebagai cubaan menabur fitnah dan mengelirukan rakyat.
Beliau menegaskan, penularan video yang dikaitkan dengan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan bersama beberapa pemimpin kanan STAR, hanyalah taktik kotor untuk memburukkan nama baik kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Jangan jadi batu api. Negara ini ada undang-undang, kalau benar video itu melanggar mana-mana peraturan undang undang, buatlah laporan kepada pihak berkuasa. Jangan bersandiwara semata-mata mahu meraih simpati politik murahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Johainizamshah berkata, adalah pelik jika seorang individu bernama Albert Tei memberikan dana kepada Dr. Jeffrey sedangkan beliau tidak memegang jawatan dalam mana-mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berkuasa meluluskan lesen perlombongan.
Malah, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Lamag itu berkata, video berkenaan berkemungkinan besar telah disunting untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap kepimpinan GRS.
“Lebih penting, kerajaan negeri di bawah Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor tidak pernah mengeluarkan sebarang kelulusan lesen perlombongan. Tuduhan itu jelas berniat jahat untuk menimbulkan kekeliruan,” katanya.
Beliau turut menyelar sikap UMNO yang lantang menyerang pihak lain, tetapi berdiam diri apabila pemimpin utama mereka sendiri berdepan kes rasuah di mahkamah.
“Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.” Lidah anda begitu petah menyerang orang lain, tetapi kelu bila terkena batang hidung sendiri,” ujarnya.
Dalam masa sama, Johainizamshah menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan Hajiji yang disifatkan berani, tegas dan tidak tunduk kepada tekanan politik.
“Walaupun dihimpit pelbagai ugutan dan helah politik sempit, Hajiji tidak pernah menggadaikan maruah negeri dengan meluluskan lesen perlombongan. Inilah sifat pemimpin sejati yang wajar digelar Hero Rakyat,” katanya.
Menurut beliau, Sabah kini berada di landasan tepat untuk memulihkan ekonomi, menarik pelaburan serta memperjuangkan hak negeri yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Namun, UMNO katanya, memilih meniup api kebencian dan mengamalkan politik sempit yang sudah ditolak rakyat.
“GRS masih teguh, bermaruah dan berprinsip.Rakyat Sabah tidak lagi mudah diperbodohkan dengan sandiwara politik sempit. Pemimpin yang mengkhianati Sabah seperti Barisan Nasional (BN) pasti akan ditolak,” tegasnya.