Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Malaysia akan memastikan kemasukan Timor-Leste ke dalam keanggotaan ASEAN berjalan lancar.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia sejak awal konsisten dengan pendirian perjuangan Timor-Leste untuk menuntut kemerdekaan.
Katanya, perjalanan demokrasi Timor-Leste telah menjadi inspirasi kepada rantau ini khususnya mengenai ketabahan negara itu mengharungi kesusahan dan diskriminasi sehingga menjadi negara yang merdeka.
Beliau dalam pada masa menghargai peranan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad atas sokongan berterusan Malaysia terhadap perjalanan Timor-Leste kearah keanggotaan ASEAN.
“Ramai di antara anda menyebut mengenai zaman prakemerdekaan dan pascakemerdekaan ketika Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri. Beliau menunjukkan pendirian yang begitu konsisten dalam ucapannya.
“Adalah menjadi tanggungjawab saya kini untuk memastikan proses kemasukan (Timor-Leste ke dalam ASEAN) berjalan lancar,” katanya semasa diberikan penghormatan menyampaikan ucapan bersejarah di Parlimen Timor-Leste pada hari kedua lawatan rasminya ke negara itu, hari ini.
Anwar berkata, Malaysia akan terus memberikan sokongan kepada kemasukan penuh negara itu ke dalam ASEAN.
Katanya, Parlimen Timor-Leste adalah nadi demokrasi dan sebuah institusi yang perlu dihargai serta dipelihara dengan selamat.
“Saya memuji Timor-Leste kerana ketabahan, keberanian dan keyakinan mereka. Walaupun sebuah negara kecil, mampu membina ekonomi. Nilai kemanusiaan dan sifat belas kasihan sebegini amat mengagumkan,” katanya.