Donald Trump
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendesak supaya wanita hamil mengelak daripada mengambil Tylenol, sambil mengaitkannya dengan risiko autisme walaupun kaitan itu belum terbukti secara saintifik.
Menurut Utusan Malaysia, Trump turut menggesa perubahan besar terhadap jadual vaksinasi bayi, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan komuniti perubatan yang menuduh pentadbirannya cuba menafikan konsensus perubatan yang dibina selama berdekad-dekad.
Kenyataan itu bercanggah dengan pandangan badan perubatan utama termasuk The American College of Obstetricians and Gynecologists, yang menegaskan paracetamol iaitu bahan utama
Tylenol merupakan antara ubat tahan sakit paling selamat digunakan ketika hamil.
Namun Trump berulang kali menekankan mesejnya iaitu pengambilan Tylenol tidak baik dan wanita hamil harus ‘melawan’ habis-habisan untuk tidak mengambilnya.
Hakikatnya, demam dan kesakitan yang tidak dirawat boleh mengundang risiko serius kepada ibu dan janin.
Kenyataan Trump itu dikritik keras oleh pakar bioetika Universiti New York, Arthur Caplan yang menyifatkannya sebagai berbahaya, tidak saintifik dan sarat maklumat palsu.
“Saya bimbang wanita hamil akan berasa bersalah jika mereka pernah mengambil Tylenol, seolah-olah mereka menjejaskan bayi sendiri. Itu tidak adil dan tidak patut berlaku,” katanya.
Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS (FDA) pula mengambil pendekatan lebih berhati-hati dengan menyatakan perdebatan saintifik masih berterusan.
Analisis kajian yang diterbitkan bulan lalu mencadangkan mungkin wujud kaitan antara pendedahan Tylenol ketika hamil dan autisme, namun banyak penyelidikan lain menunjukkan keputusan sebaliknya.
Pengkaji turut menekankan perlunya kajian menyeluruh.
Pakar epidemiologi psikiatri Universiti Pennsylvania, David Mandell, berkata risiko yang dikaitkan dengan Tylenol kelihatan lebih rendah berbanding bahaya jangkitan tidak terkawal semasa kehamilan.
Trump juga mempertikaikan vaksin rutin seperti suntikan MMR (campak, beguk dan rubela) serta menyuarakan hasrat untuk menghentikan penggunaan aluminium dalam vaksin, walaupun kajian meluas mengesahkan keselamatannya.
Beliau malah menggesa perubahan besar dalam jadual vaksin bayi dengan mendakwa tiada sebab untuk memberikan vaksin Hepatitis B kepada bayi baru lahir, kenyataan yang bercanggah dengan konsensus perubatan global bahawa imunisasi awal adalah cara paling berkesan mencegah penularan daripada ibu kepada anak.