Mohd. Khalid Ismail
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah mengiktiraf mana-mana kumpulan jenayah terancang yang bertapak di negara ini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, walaupun umum mengetahui kewujudan kumpulan kongsi gelap yang dikenali melalui beberapa nama, tetapi organisasi itu tidak pernah diiktiraf.
“Sedia maklum, ada beberapa kawasan ini memang wujud beberapa kumpulan macam ini dan masyarakat mengetahui ada beberapa nama-nama kumpulan.
“Tetapi kita (polis) lebih menyatakan bahawa ia adalah satu kumpulan jenayah terancang,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini.
Ditanya sama ada kumpulan berkenaan merekrut golongan remaja untuk menjadi ahli, Mohd. Khalid tidak menafikan perkara itu berlaku.
“Berdasarkan struktur kumpulan jenayah terancang, kita (polis) percaya perkara ini memang berlaku tetapi kita masih lagi mendapatkan maklumat-maklumat lanjut berhubung isu ini,” katanya.