Abidin (lima dari kanan) mewakili Ketua Menteri melakukan gimik perasmian 5th International Symposium on Conservation and Management of Wetlands 2025.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dalam usaha memulihara tanah bencah Sabah yang dianggap khazanah hidup, bukan sahaja untuk tujuan konservasi tetapi juga sebagai pemacu pembangunan mampan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, melalui ekopelancongan, perikanan lestari, perdagangan karbon dan perusahaan berasaskan komuniti, tanah bencah berpotensi membuka peluang ekonomi sambil melindungi alam semula jadi untuk generasi akan datang.
Berucap pada Simposium Antarabangsa Kelima mengenai Pemuliharaan dan Pengurusan Tanah Bencah 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini, Hajiji menegaskan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa memberi penekanan terhadap kelestarian alam sekitar kerana menyedari sumber semula jadi negeri merupakan asas ekonomi, budaya dan kesejahteraan masyarakat.
“Sejak beberapa tahun lalu, kita telah mengambil langkah proaktif melindungi tanah bencah dan ekosistem berkaitan. Antaranya termasuk pewartaan kawasan perlindungan, penetapan Kota Kinabalu Wetland sebagai Tapak Ramsar Berkepentingan Antarabangsa, serta sokongan berterusan terhadap pemuliharaan hutan bakau, tanah gambut dan ekosistem pesisir pantai di seluruh negeri,” katanya.
Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.
Hajiji berkata, inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) turut menekankan pertumbuhan mampan dan inklusif, dengan perlindungan alam sekitar sebagai prinsip panduan.
“Pendekatan kita bukan sekadar melindungi alam semula jadi, tetapi memastikan pemuliharaan dan pembangunan dapat berjalan seiring,” katanya.
Beliau menambah, kerjasama erat dengan komuniti tempatan, NGO seperti Sabah Wetlands Conservation Society (SWCS), institusi penyelidikan dan rakan antarabangsa telah berjaya memulihkan ribuan hektar hutan bakau serta memperkenalkan projek ekopelancongan berasaskan komuniti.
“Projek-projek ini bukan sahaja memperkasakan penduduk tempatan untuk mendapat manfaat langsung daripada aktiviti pemuliharaan, tetapi juga mengukuhkan pendidikan alam sekitar serta menyokong penyelidikan saintifik dan pemantauan bagi membimbing dasar serta keputusan berasaskan bukti,” katanya.
Namun, beliau mengakui cabaran masih wujud susulan perubahan iklim, pembandaran dan amalan tidak lestari yang terus memberi tekanan kepada tanah bencah.
“Inilah sebabnya Sabah giat melaksanakan penyelesaian berasaskan alam semula jadi, strategi penyesuaian iklim dan kerjasama antarabangsa untuk memastikan usaha pemuliharaan kekal relevan dan berkesan,” jelasnya.
Kerajaan Negeri, katanya, komited memperluas kawasan pemuliharaan tanah bencah, meningkatkan keupayaan penyelidikan dan pemantauan, serta melabur dalam mekanisme pembiayaan mampan seperti perdagangan karbon dan pampasan biodiversiti.
“Kita juga akan terus memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa kerana perlindungan tanah bencah bukan tanggungjawab sesebuah kerajaan atau organisasi sahaja, tetapi amanah bersama seluruh dunia,” katanya.
Beliau turut mengiktiraf usaha SWCS yang sedang berusaha mencalonkan Tanah Bencah Semenanjung Klias dan Tanah Bencah Lahad Datu sebagai Tapak Ramsar berkepentingan antarabangsa.
“Apabila usaha ini direalisasikan, ia akan mengangkat nama Sabah di peta dunia dalam bidang pemuliharaan tanah bencah. Visi Sabah jelas – menjadi model pengurusan sumber semula jadi secara bertanggungjawab, di mana pemuliharaan menyokong pertumbuhan ekonomi dan rakyat dapat hidup harmoni dengan alam semula jadi,” katanya.
Hajiji turut menyatakan kepuasan terhadap pengisian simposium yang menampilkan tiga sesi penting iaitu Sumber Marin (Ekonomi Biru), Rejim Kebakaran Tanah Bencah/Antara Muka Bandar-Tanah Bencah, serta Pemulihan dan Penjagaan Tanah Bencah.
“Saya menggesa semua peserta berkongsi idea, pengalaman dan inovasi. Belajarlah antara satu sama lain, dan marilah kita membina kerjasama yang berterusan walaupun selepas simposium ini berakhir.
“Bersama-sama, kita dapat mencari cara baharu dan mampan untuk memulihara tanah bencah, sambil memastikan ia kekal sebagai sumber kehidupan dan kemakmuran untuk generasi akan datang,” katanya.