PETALING JAYA: Kumpulan, Dolla bakal mengadakan sebuah konsert di Singapura dan Malaysia pada 22 November dan 6 Disember depan.
Menurut Utusan Malaysia, konsert anjuran SAH Entertainment itu turut menawarkan harga tiket mampu milik sekali gus mendapat sambutan yang amat menggalakkan sejak diumumkan baru-baru ini.
Menurut Sufi Rashid selaku Pengarah Urusan SAH Entertainment, pendekatan ini adalah sebahagian daripada komitmen syarikat untuk memastikan konsert berkualiti tinggi dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
“Kami faham keadaan ekonomi sekarang, dan kami percaya muzik harus jadi penghubung – bukan penghalang.
“Itulah sebabnya SAH Entertainment buat keputusan untuk tetapkan harga tiket yang mampu milik.
“Ini supaya lebih ramai dapat hadir dan merasai sendiri kehebatan persembahan Dolla secara langsung,” katanya.
Susulan itu, penjualan tiket konsert tersebut meraih komen positif daripada peminat di media sosial yang turut teruja untuk menyaksikan Dolla secara langsung.
Dalam masa sama, kumpulan yang kini dianggotai tiga bakat besar seperti Tabby, Angel, dan Sabronzo, menjanjikan persembahan luar biasa kepada para peminat mereka.
Konsert Dolla Good Girls Gone Bad itu akan berlangsung di Capitol Theatre, Singapura pada 22 November 2025.
Kemudian, kumpulan yang terkenal menerusi lagu Dolla Make You Wanna itu bakal menghiburkan peminat tanah air di IDEALive Arena, Petaling Jaya, pada 6 Disember 2025.
Untuk pembelian tiket dan maklumat lanjut, sila lawati saluran rasmi SAH Entertainment dan Dolla di media sosial serta laman web jualan tiket yang diumumkan.