Gambar tular menunjukkan kakitangan penjawat awam Kerajaan Selangor merokok dan menunjukkan puntung rokok ketika menaiki kenderaan rasmi jabatan.
SHAH ALAM: Tindakan surat tunjuk sebab (STS) dikenakan ke atas pegawai yang tular dirakam merokok dalam kenderaan rasmi milik jabatan kerajaan Selangor.
Menurut Utusan Malaysia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) memaklumkan, pentadbiran memandang serius isu penularan gambar melibatkan penjawat awam itu.
“Tindakan awal telah diambil apabila ketua jabatan berkaitan mengeluarkan STS kepada pegawai terlibat. Ia bagi mendapatkan penjelasan bertulis mengenai tingkah laku yang tular berkenaan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Jelasnya, penjawat awam wajib menjaga imej perkhidmatan awam dan mematuhi semua peraturan termasuk etika penggunaan aset rasmi kerajaan negeri.
“Tindakan tidak berdisiplin bukan saja mencemarkan reputasi jabatan malah bertentangan dengan nilai integriti. Ia tidak selaras tanggungjawab awam yang digariskan dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” tegasnya.
Justeru, semua penjawat awam diingatkan menjaga tingkah laku ketika menggunakan aset kerajaan dan tidak melakukan perbuatan mencetus imej negatif terhadap pentadbiran kerajaan negeri.
“Sebarang pelanggaran salah laku akan ditangani melalui saluran tatatertib sedia ada.
“SUK Selangor komited memastikan tahap profesionalisme dan integriti penjawat awam di negeri ini sentiasa terpelihara serta berada pada tahap terbaik,” ujarnya.