Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan melantik seorang wakil rakyat Cina sebagai Timbalan Ketua Menteri sekiranya kembali membentuk kerajaan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Jika Kerajaan ini sekali lagi diberi mandat, dan jika lebih ramai pemimpin Cina berjaya dipilih sebagai wakil rakyat, saya akan melantik salah seorang daripada mereka sebagai Timbalan Ketua Menteri,” katanya.
Berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama masyarakat Cina, sekolah mubaligh dan sekolah swasta Cina serta badan agama bukan Islam di Dewan Hakka di sini, Hajiji menekankan peranan serta sumbangan besar masyarakat Cina dalam kemajuan dan pembangunan Sabah.
“Tanpa sumbangan anda, ekonomi negeri tidak akan berkembang. Malah, sumbangan masyarakat Cina di Sabah merangkumi pelbagai bidang dan sektor.
“Dalam sektor swasta, usahawan dan peniaga Cina adalah antara peneraju utama. Dalam perkhidmatan awam negeri, ramai pegawai keturunan Cina memegang jawatan tinggi di kementerian, jabatan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Sesungguhnya, kita mengiktiraf dan menghargai peranan serta sumbangan masyarakat Cina dalam masyarakat kita,” katanya.
Bagi memperkukuh lagi pentadbiran negeri, Hajiji berkata, beliau telah melantik beberapa penasihat, khususnya pakar dalam bidang minyak dan gas, kewangan, pelaburan serta undang-undang.
“Kebetulan, hampir kesemuanya adalah daripada keturunan Cina. Terbaharu, saya telah melantik Yang Amat Arif Tan Sri David Wong Dak Wah, bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, untuk mengetuai Majlis Penasihat Pembaharuan Undang-Undang Sabah (SLRAC) – sebuah badan bebas yang ditubuhkan bagi memperkukuh sistem perundangan negeri.
“Majlis ini akan meneliti undang-undang lapuk, mencadangkan pembaharuan yang relevan, adil dan mesra rakyat, serta memastikan pentadbiran kita selaras dengan keperluan semasa. Inilah cara kita memperbaiki tadbir urus negeri, agar Sabah terus progresif dan disegani,” katanya.