KENINGAU: Garret Patrick secara rasmi menerima pelantikan sebagai Ketua Sekretariat Bingkor Membangun Bersama Rakyat (BMBR) dalam satu majlis ringkas yang diadakan kelmarin.
Watikah pelantikan tersebut disampaikan oleh Diana Basir, yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik.
Sekretariat BMBR memainkan peranan penting dalam menyelia pelaksanaan semua program di bawah Hala Tuju Bingkor Membangun Bersama Rakyat, yang telah menjadi tonggak pentadbiran kawasan DUN Bingkor sepanjang lima tahun lalu.
Kini, sekretariat itu diberi amanah untuk meneruskan agenda Hala Tuju BMBR 2.0 bagi tempoh lima tahun akan datang sebagaimana yang telah dirancang.
Penubuhan sekretariat tersebut membolehkan pelaksanaan program digerakkan dengan lebih teratur, termasuk melalui penglibatan sukarelawan dan komuniti setempat, bagi memastikan segala perancangan dapat berjalan lancar dan berkesan.
Dalam kenyataan beliau, Garret menegaskan komitmennya untuk terus berusaha membantu wakil rakyat dalam menjayakan segala perancangan menuju ke arah pencapaian matlamat Hala Tuju BMBR 2.0.
Beliau turut menzahirkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan, sambil menekankan bahawa sokongan masyarakat setempat amat penting bagi memastikan kejayaan pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan di Bingkor.