KOTA KINABALU: Program Sumbangan Asas Rahmah (MySARA) terus memberi manfaat kepada rakyat Sabah dengan pemantauan berterusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar dan telus.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Datuk Dr. Hajah Fuziah Salleh bersama pasukan penguat kuasa KPDN Sabah hari ini menjalankan pemeriksaan dan advokasi ke atas beberapa premis MySARA bagi memastikan garis panduan serta undang-undang dipatuhi sepenuhnya.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi menjamin rakyat, khususnya golongan B40, menerima manfaat penuh daripada bantuan tersebut sekali gus mengelakkan sebarang bentuk penyelewengan.
“Pemeriksaan ini turut dilakukan secara berkala bagi memastikan tahap pematuhan kekal terbaik. Setakat ini, tiada kenaikan harga dikenakan ke atas barangan MySARA dan bekalan juga mencukupi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MySARA dilaksanakan bagi membantu rakyat menangani kos sara hidup melalui penyaluran bantuan asas tanpa tunai menggunakan MyKad. Kadar bantuan melibatkan isi rumah eKasih sehingga RM2,100 setahun, warga emas eKasih RM1,650 setahun, bujang eKasih RM600 setahun, selain penerima baharu iaitu RM900 bagi isi rumah dan RM450 bagi warga emas.
Seiring pengumuman Perdana Menteri pada 23 Julai lalu, Kerajaan turut menyalurkan bantuan tunai sekali bayar (one-off) RM100 kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas. Bantuan itu boleh digunakan mulai 31 Ogos hingga 31 Disember 2025 bagi pembelian barangan keperluan asas di lebih 7,900 premis seluruh negara, termasuk 701 premis di Sabah dengan 154 daripadanya di Kota Kinabalu.
Fuziah menegaskan, Kerajaan melalui KPDN akan terus meningkatkan usaha pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan integriti pasaran terjamin, harga barang terkawal serta hak pengguna dilindungi.
“Sekiranya berlaku kenaikan harga barangan keperluan, notis di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 akan dikeluarkan. Ini bukti kesungguhan kerajaan membantu rakyat,” ujarnya.
Beliau turut menggesa semua pihak memberi kerjasama memastikan pelaksanaan MySARA berjalan lancar, selain mengingatkan orang ramai menyalurkan aduan melalui talian rasmi KPDN termasuk WhatsApp 019-8488000, portal e-Aduan, pusat panggilan 1-800-886-800, aplikasi mudah alih Ez ADU KPDN dan QR Aduan Suri.
































