Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menegaskan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, telah mengambil langkah serius dan menyeluruh untuk menyelesaikan isu tenaga di Sabah, berbeza dengan dakwaan pembangkang yang hanya pandai beretorik.
Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kenyataan Datuk Suhaimi Nasir yang menuduh Kerajaan Negeri gagal menangani isu tenaga adalah tidak berasas dan hanya mencerminkan gaya politik lama yang gemar menjerit tanpa mengemukakan jalan penyelesaian.
“Realitinya, Kerajaan telah menggerakkan pelbagai usaha konkrit melalui Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) dengan sokongan penuh Kerajaan Negeri, termasuk cadangan projek Southern Link – talian penghantaran elektrik sepanjang 330 kilometer dari Sipitang ke Tawau – yang akan melengkapkan grid tenaga Sabah.
“Kerajaan Negeri berharap projek penting ini dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) agar Pantai Timur tidak lagi hanya bergantung kepada talian Kolopis–Segaliud,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kerajaan juga sedang merangka pengambilalihan SESB supaya kawalan tenaga dapat ditentukan sepenuhnya oleh rakyat Sabah sendiri. Langkah itu disokong dengan Pelan Pembangunan Penjanaan fast track, penyewaan loji sementara, pembinaan loji solar berskala besar serta pemasangan Battery Energy Storage System (BESS) berkapasiti 100MW yang kini dipercepatkan jadual siapnya.
Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri turut melancarkan Pelan Induk & Halatuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) yang menggariskan 16 strategi utama untuk menjamin bekalan tenaga yang boleh dipercayai, mampu milik dan mampan.
“Penubuhan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECOS) pula membolehkan Sabah mengawal selia tenaga elektrik dan gas secara terus. Semua ini adalah langkah nyata – projek sudah berjalan, pelan sudah dirangka, dan pelaksanaan sedang dipercepat. Inilah bezanya Kerajaan GRS dengan pembangkang. Kita bekerja, mereka bercakap,” tegasnya.
Menurut Nizam, rakyat tidak memerlukan retorik politik semata-mata, sebaliknya mahukan penyelesaian praktikal yang memastikan lampu di rumah terus menyala dan kilang dapat beroperasi dengan lancar.
“Kerajaan GRS di bawah pimpinan Hajiji telah membuktikan kemampuan mentadbir negeri dengan tindakan jelas, bukannya janji kosong,” katanya.






























