Masedeh Rosmin
KOTA KINABALU: Sabah Electricity mengesahkan penemuan jenazah seorang anggota kerjanya yang dihanyutkan arus deras ketika menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di Kampung Tuntunan, Apin-Apin.
Mangsa, Masedeh Rosmin, 35, ditemui pada jam 6.18 petang di Sungai Liau, Kampung Laut oleh pasukan pencarian Team Gelen Star sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Sabah Electricity amat berdukacita dengan kehilangan ini dan merakamkan ucapan takziah serta simpati kepada keluarga yang ditinggalkan,” kata kenyataan syarikat itu.
Sabah Electricity turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak berkuasa dan pasukan penyelamat yang terlibat dalam misi pencarian dan menyelamat, khususnya Team Gelen Star, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta anggota kerja Sabah Electricity sendiri yang membantu sepanjang operasi tersebut.