Tun Musa (kanan) ketika sesi kunjungan hormat Ewon.
KOTA KINABALU: Usahawan dan koperasi yang terjejas akibat bencana seperti banjir serta tanah runtuh boleh memohon penstrukturan semula atau penangguhan pembiayaan sehingga maksimum enam bulan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, kemudahan itu ditawarkan menerusi tujuh agensi pembiayaan di bawah kementeriannya termasuk Bank Rakyat, SME Bank, Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) dan SME Corp.
”Permohonan penangguhan boleh dilaksanakan serta-merta dengan syarat peminjam mengemukakan laporan polis yang mengesahkan premis keusahawanan mereka terjejas.
“Sekiranya laporan lengkap dikemukakan, tindakan segera dapat diambil untuk membantu usahawan yang terkesan,” jelasnya ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Tahun 2024 Bank Rakyat di Istana Seri Kinabalu, pada Khamis.
Hadir sama, Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bungsu@Aziz Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Ugama Islam Sabah, Datuk Ramlan Awang Ali, CEO Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Ahmad Shahril Mohd Shariff dan Pengarah Wilayah Borneo, Saini Hammade.


































