Tun Musa (tengah) menyaksikan penyerahan zakat perniagaan Bank Rakyat kepada MUIS.
KOTA KINABALU: Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) menyerahkan lebih RM1.7 juta zakat perniagaan bagi haul tahun 2024 kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ruslan Muharam berkata, jumlah zakat sebanyak RM1,727,120 itu meningkat berbanding RM1,352,340 pada tahun sebelumnya.
“Peningkatan ini jelas membuktikan perniagaan Bank Rakyat terus berkembang sekali gus memberi manfaat kepada lapan asnaf iaitu fakir (39.15 peratus), miskin (11.37 peratus), amil (8.17 peratus), mualaf (2.79 peratus), al-Riqab (18.77 peratus), gharimin (0.7 peratus), ibnu sabil (0.64 peratus) dan fisabilillah (18.35 peratus).
“Kita juga yakin zakat ini mampu membantu golongan yang terkesan akibat malapetaka di Sabah,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Tahun 2024 Bank Rakyat, semalam.
Majlis penyerahan itu turut disaksikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu.
Ruslan turut menyeru lebih ramai peniaga dan usahawan menunaikan zakat agar sama-sama dapat membantu golongan yang memerlukan.
“Kutipan ini juga akan disalurkan kepada pendidikan, khususnya anak-anak asnaf yang melanjutkan pelajaran bagi menjamin masa depan keluarga mereka,” jelasnya.
Penyerahan sumbangan zakat disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Sharif kepada Ketua Pegawai Eksekutif MUIS, Datuk Ramlan Awang Ali.