KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan menzahirkan rasa dukacita dan takziah kepada keluarga mangsa tragedi banjir serta tanah runtuh yang meragut 13 nyawa di beberapa daerah di Sabah baru-baru ini.
Beliau berkata, tragedi yang menimpa kanak-kanak, orang dewasa dan warga emas itu meninggalkan luka amat mendalam bukan sahaja kepada keluarga mangsa, malah seluruh masyarakat.
“Nyawa yang terkorban bukan sekadar angka, tetapi merupakan insan tersayang – anak-anak kecil, ibu bapa, datuk, nenek – mereka adalah sebahagian daripada kita semua,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara lokasi yang merekodkan korban jiwa termasuk Kampung Cenderakasih di Kota Kinabalu dengan tujuh kematian melibatkan empat kanak-kanak, datuk mereka serta ahli keluarga lain.
Di Papar, dua nyawa terkorban di Kampung Mook melibatkan seorang wanita berusia 38 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, manakala tiga mangsa di Kampung Marahang Tuntul termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun.
Selain itu, seorang lelaki berusia 97 tahun turut dilaporkan meninggal dunia akibat tanah runtuh di Kampung Sarapung, Penampang.
“Lebih memilukan, seorang pekerja Sabah Electricity Sdn. Bhd. (Sabah Electricity) dilaporkan hanyut ketika menjalankan tugas dan sehingga kini masih belum ditemui. Beliau adalah lambang pengorbanan anak Sabah yang berbakti untuk memastikan kehidupan orang lain tidak terputus bekalan tenaga walaupun dalam keadaan bencana,” jelas Dr. Jeffrey.
Beliau turut berdoa agar keluarga mangsa pekerja Sabah Electricity itu diberi ketabahan dalam menghadapi dugaan menanti kepulangan insan tercinta, walau dalam apa jua keadaan.
Menurutnya, tragedi itu mengingatkan semua pihak bahawa banjir bukan sekadar musibah alam, tetapi juga ujian yang meragut rasa selamat, masa depan dan harapan rakyat.
“Kita tidak boleh membiarkan keadaan ini berulang tanpa tindakan tegas. Sebagai langkah segera, Kerajaan akan melaksanakan kerja-kerja pemulihan sistem saliran di kawasan terjejas serta mempercepatkan projek-projek tebatan banjir yang sedang berjalan,” katanya.
Beliau menegaskan rakyat tidak boleh terus hidup dalam ketakutan setiap kali hujan lebat melanda.
Untuk jangka panjang, katanya, Kerajaan Negeri telah pun merancang beberapa projek kritikal termasuk Pembangunan Lembangan Sungai Moyog Pakej 2A dan Pakej 4 di Penampang.
Namun, katanya, usaha itu berulang kali tergendala kerana pembiayaan tidak diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan sejak Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).
“Oleh itu, saya dengan penuh harapan merayu kepada Perdana Menteri agar meluluskan peruntukan segera kira-kira RM900 juta bagi melaksanakan projek-projek kritikal ini. Inilah penyelesaian jangka panjang yang mampu melindungi nyawa, harta benda dan masa depan rakyat Sabah,” tegasnya.
Beliau menambah, rakyat Sabah sudah terlalu lama menderita setiap kali hujan lebat turun dan menuntut agar tindakan segera diambil tanpa perlu menunggu tragedi seterusnya.
“Nyawa rakyat mesti diutamakan,” katanya.


































