Armizan (kanan) ketika meninjau LLC Kaiduan selepas melawat PPS Dewan Lok Kawi Height Papar.
PAPAR: Kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri akan bekerjasama untuk menyelesaikan isu Low Level Crossing (LLC) di Kaiduan yang runtuh dalam kadar segera.
Menurut Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali, perbincangan telah diadakan dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mencari solusi kepada masalah penduduk terutamanya Kampung Bisuang dan Kampung Kaiduan.
“Petang ini saya bersama YB Datuk Juil serta JPBD akan turun ke LLC untuk kita meneliti apakah solusi yang terbaik sebab LLC Kaiduan. Sejak sekian lama tidak ada binaan yang kekal dibuat di sana, ada pun LLC yang walaupun air naik memang tidak boleh dilalui.
“Itu sebab apabila dibuat LLC yang baharu, itu pun nampaknya tidak boleh menampung cabaran ekstrem yang ada. Jadi, kita melihat hari ini bersama agensi teknikal apakah solusi yang terbaik untuk memastikan bila kita buat membina struktur yang baharu ia berbentuk binaan dengan spesifikasi dan skop yang boleh menampung cabaran ekstrem di kawasan tersebut.
“Kita boleh lihat kalau pergi ke kawasan tersebut, masa biasa pun arusnya amat besar apatah lagi bila keadaan hujan lebat air pasang daripada hulu tersebut yang akan menyebabkan risiko yang amat besar,” ujarnya.
Jelas Armizan, kerjasama itu bukan hanya menumpukan kepada akses harian penduduk tetapi juga aktiviti ekonomi pelancongan di kawasan berkenaan.
“Itu sebabnya akses darat LLC itu amat penting untuk kita selesaikan. InshaAllah kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri akan bekerjasama untuk selesaikan isu dalam kadar segera,” katanya.
Mengulas lanjut kata beliau, pasukan pembersihan telah dihantar apabila sebahagian besar 11 daripada 17 culvert ditutupi sisa berbentuk batuan, kayu selain arus yang amat deras melebihi paras LLC tersebut pada 8 September, sebelum runtuh pada Sabtu lepas.
“Sebenarnya, LLC tersebut telah pun runtuh pada 13 September lepas. Semenjak berlakunya hujan lebat yang berlarutan, sudah hampir 10 hari sebenarnya yang ekstrim dalam dua hari inilah memang kita telah mendapat laporan tentang cabaran ekstrem yang dihadapi di lapangan di LLC tersebut.
“Namun 13 September, apabila berlakunya hujan yang amat lebat, arus yang cukup besar telah menyebabkan runtuhnya LLC tersebut kerana faktor arus, faktor debris yang menyumbat culvert dan juga hakisan kerana arus terderas tersebut hakisan kepada struktur asas kepada kedua-dua pangkal LLC tersebut.
“Akhirnya, ia telah pun roboh. Penduduk di sana masih mempunyai alternatif namun bukan jalan raya, ada jambatan gantung yang mereka boleh lalui,” dedah beliau kepada media selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Lok Kawi Height dekat sini, pada Selasa.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar, ADUN Limbahau Datuk Juil Nuatim, Pegawai Daerah Muhammad Mohd Ali yang juga Pengerusi JPBD Papar, Ketua Polis Daerah Supt. Kamaruddin Ambo Saka dan ketua-ketua jabatan.
Setakat jam 10 pagi hari ini, PPS Dewan Lok Kawi Height yang dibuka sejak jam 5 petang semalam (15 September) kini menempatkan 24 Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan 77 ahli keluarga, selain PPS Dewan Masyarakat dan Balai Raya Kg. Mook Kinarut yang masing-masing menjadi tempat perlindungan bagi 34 KIR serta 115 ahli keluarga dan 5 KIR dengan 22 ahli keluarga.
































