SOOK: Program Tamu Suara 360°: Aspirasi Anak Muda yang dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan Sabah dengan kerjasama Majlis Belia Sabah berjaya menghimpunkan lebih 1,000 belia di Dewan Datuk Ellron Angin, Kampung Biah, di sini.
Program berkenaan menjadi platform penting untuk mendengar aspirasi, pandangan serta cadangan golongan muda berkaitan pembangunan negeri, selain memberi ruang kepada belia di setiap daerah menyuarakan hasrat dan idea mereka kepada kerajaan.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, Sabah Tanah Airku dan lagu rasmi SMJ, diikuti bacaan ikrar Rukun Negara serta doa selamat. Tayangan montaj Tamu Suara 360° turut dipersembahkan sebagai imbasan siri jelajah program di beberapa lokasi sebelum ini.
Kemuncak acara adalah sesi dialog bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Alfred Angin yang menyentuh pelbagai isu termasuk peluang keusahawanan, pendidikan, pembangunan modal insan serta peranan belia dalam hala tuju negeri.
Menurutnya, kehadiran ribuan belia di majlis itu jelas mencerminkan minat dan kesungguhan golongan muda untuk terlibat aktif dalam pembangunan masyarakat dan negeri.
Majlis turut menyaksikan penyampaian geran Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) kepada usahawan belia terpilih. Inisiatif itu merupakan usaha Kerajaan Negeri untuk menyokong penglibatan belia dalam bidang keusahawanan, sekaligus memperkukuh daya saing ekonomi generasi muda.
Program diakhiri dengan jamuan makan yang memberi ruang interaksi santai antara belia dan penganjur, sekali gus mengukuhkan ukhuwah dalam kalangan peserta.
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Datuk Mansur Asun, Presiden Majlis Belia Sabah, Abqaree Fawwaz Abekan, serta warga belia dari kawasan pedalaman.


































