KOTA KINABALU: Banjir lumpur dan tanah runtuh yang melanda kawasan Penampang akibat keadaan cuaca buruk yang melanda Pantai Barat Negeri Sabah sejak beberapa hari lalu telah menyebabkan sebuah tiang menara milik Sabah Electricity Sdn. Bhd. (Sabah Electricity) terjejas.
Menara tersebut yang terletak di Kampung Sarapung tergelincir daripada kedudukan asal disebabkan tanah runtuh dan mengakibatkan gangguan kepada talian penghantaran 275kV Kolopis-Segaliud pada jam 5.05 petang kelmarin.
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ir.Ts. Mohd. Yaakob Hj. Jaafar berkata, kesan daripada kejadian itu telah menyebabkan gangguan bekalan elektrik ke beberapa daerah di Pantai Timur Sabah iaitu Sandakan, Lahad Datu, Kinabatangan, Kunak, Semporna dan Beluran yang menjejaskan hampir 230,000 pengguna.
“Usaha untuk mengesan gangguan bekalan tersebut dilaksanakan dengan segera di mana pasukan teknikal Sabah Electricity telah meredah hutan dan bukit bukau selama hampir tujuh jam sehingga malam sebelum menemui punca gangguan berlaku pada jam 1.03 pagi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media setelah selesai melakukan tinjauan melalui udara ke lokasi tiang menara tersebut terjejas.

Usaha untuk memulihkan kerosakan menara itu dilaksanakan segera kerana tiang menara itu penting untuk talian grid elektrik 275kV yang menyalurkan bekalan elektrik sebanyak 200MW ke Pantai Timur Sabah.
Antara usaha tersebut adalah melakukan pintasan (conductor bridging) talian penghantaran melalui talian Kimanis ke talian Segaliud dan mendirikan menara kecemasan bagi mengganti tiang menara yang rosak.
Usaha ini mengambil masa dua hingga lapan hari disiapkan.
Dalam pada itu, Yaakob berkata, Sabah Electricity menghargai kerjasama yang diberikan oleh semua pihak termasuk Kerajaan Negeri Sabah, Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Majlis Keselamatan Negara, Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri, Sabah Air Aviation Sdn. Bhd. dan jabatan serta agensi kerajaan.
































