Tun Musa bersama tetamu jemputan menyempurnakan upacara memotong kek sempena sambutan Pesta Kubis 2025.
KUNDASANG: Peningkatan kutipan hasil negeri ke tahap tertinggi dalam sejarah menjadi bukti keutuhan dan keberkesanan pentadbiran Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Beliau berkata, hasil negeri yang mencecah RM5.49 bilion pada 2021, RM6.96 bilion pada 2022, RM6.97 bilion pada 2023 dan RM6.84 bilion pada 2024 jelas menunjukkan dasar pentadbiran di bawah pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) memberi kesan positif kepada pembangunan ekonomi negeri.
“Pencapaian ini bukan angka kosong, sebaliknya membuktikan Kerajaan mempunyai asas yang kukuh dalam mentadbir. Hasil yang tinggi inilah yang diterjemahkan kepada pelbagai manfaat untuk rakyat,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Pesta Kubis di Pentas Budaya Kundasang, hari ini.

Tun Musa melafazkan perasmian JubliPerak ke-25 Pesta Kubis 2025.
Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, hasil itu membolehkan Kerajaan melaksanakan Inisiatif seperti Rumah Mesra SMJ Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS), pemberian Bantuan Tunai Rakyat Sabah RM300 sebulan dan bantuan one off RM5,000 kepada penjaja tepi jalan seramai 643 penerima.
Katanya, sektor minyak dan gas turut memberi sumbangan besar apabila penubuhan SMJ Energy Sdn Bhd melonjakkan pendapatan negeri daripada RM50 juta kepada RM5.1 bilion, selain mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan baharu.
Selain itu, pelaburan strategik daripada syarikat gergasi antarabangsa – Kibing Solar, SK Nexilis dan Esteel Enterprise – turut membuka ribuan peluang kerja untuk anak muda tempatan, sekali gus mengukuhkan daya saing Sabah sebagai destinasi pelaburan.

Tun Musa (tiga dari kiri) menyaksikan demo memasak berasaskan sayur Kubis oleh Toh Puan.
Dr. Joachim yang juga ADUN Kundasang menambah, kejayaan pembangunan ini hanya dapat dicapai kerana kestabilan politik yang dipelihara GRS Kerajaan serius menyelesaikan masalah asas rakyat.
“GRS sudah membuktikan ia sebuah kerajaan yang stabil, solid dan berpaksikan kepentingan rakyat, jika diberikan mandat sekali kita akan memastikan kejayaan ini berterusan,”tegasnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun (Dr.) Musa Aman dan isteri Toh Puan Faridah Tusin yang hadir memeriahkan Pesta Kubis.
Katanya, kehadiran TYT bersama rakyat mencerminkan komitmen kepimpinan negeri terhadap kesejahteraan masyarakat, khususnya di Kundasang.
“Syabas kepada semua pihak yang menjayakan Pesta Kubis kali yang ke-25 ini,” katanya
Turut hadir Menteri Kewangan yang juga ADUN Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun; Ahli Parliman Ranau, Datuk Jonathan Yasin; ADUN Dilantik Datuk, Amisah Yassin; Pegawai Daerah Ranau selaku Penasihat Majlis Pesta Kubis, Tinus Manggam; Pengerusi Penganjur Pesta Kubis, Datuk Japiril Suhaimin serta Ketua-ketua Jabatan Daerah Ranau.






























