Ellron merakamkan detik bersejarah bersama para penerima geran tanah dan warga kampung yang hadir.
SOOK: Seramai 462 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.45 Sook menerima geran tanah masing-masing dalam majlis penyerahan yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Sook, Datuk Ellron Angin di Dewan Masyarakat Sook, kelmarin.
Daripada jumlah itu, 224 penerima memperoleh geran tanah kategori pengukuran pentas, manakala 238 lagi menerima geran pengukuran biasa. Turut diraikan ialah 86 peneroka Skim SAFODA Karamatoi yang akhirnya mendapat hak milik melalui penerimaan Lot Pengukuran Skim Karamatoi.
Ellron dalam ucapannya berkata, penyerahan geran ini adalah hasil penantian panjang rakyat dan bukan sekadar dokumen, tetapi jaminan masa depan, hak yang sah serta warisan berharga untuk generasi seterusnya.
“Ini bukan yang pertama dan bukan yang terakhir. Usaha kita masih berterusan untuk menyelesaikan kawasan lain di Sook termasuk Skim Fasa 1, Fasa 2 dan beberapa kampung yang sedang menunggu giliran,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan Sabah menegaskan, Kerajaan komited memastikan setiap keluarga di Sook mendapat kepastian hak tanah mereka kerana ia merupakan kunci kesejahteraan dan pembangunan rakyat.
Menurutnya, penyerahan itu juga membuktikan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sentiasa melaksanakan perkhidmatan terbaik demi rakyat.
Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Kanan (Tanah) Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Nurul Ikhsan Haji Ibrahim; Penolong Pegawai Daerah Sook, Inchek Anam; serta penduduk kampung yang hadir meraikan detik bersejarah itu.






























