KOTA KINABALU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan menafikan sekeras-kerasnya penyebaran tangkap layar perbualan WhatsApp yang tular kononnya melibatkan beliau bersama beberapa individu lain.
Nizam, yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), menyifatkan fitnah jelik itu sengaja direka untuk memburukkan nama serta mencemar imej parti berkenaan.
“Fitnah ini jelas berunsur politik kotor kerana individu yang sama juga sebelum ini menularkan isu serupa terhadap ADUN Kunak, Datuk Norazlinah Arif,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, berhubung perkara itu, beliau telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu petang tadi.
Selain itu, Nizam turut mengarahkan peguamnya untuk mengeluarkan Notis Tuntutan (Letter of Demand, LOD) kepada seorang individu dikenali sebagai Atan atau nama sebenarnya Tandiko Bin Dalusin, yang menggunakan akaun Facebook “Huzaifah Al-Likasi” dan didakwa sebagai dalang utama penyebaran fitnah berkenaan.
Menurutnya, kebenaran mengenai palsunya tangkap layar WhatsApp itu turut diakui oleh Ketua Penerangan Parti Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman dalam satu siaran langsung di media sosial tengah hari tadi.
“Dalam siaran langsung itu, beliau (Azis) sendiri menyebut bahawa tangkap layar WhatsApp yang tular itu tidak benar. Kenyataan ini membuktikan bahawa fitnah yang disebarkan adalah rekaan semata-mata dan tiada kaitan dengan saya,” tegasnya.
Nizam menegaskan politik seharusnya berlandaskan hujah, fakta dan idea, bukannya fitnah serta manipulasi.
Katanya, penyebaran fitnah sebegitu bukan sahaja mencemar nama baik dirinya dan parti, malah berpotensi menimbulkan keresahan awam, khususnya apabila melibatkan isu sensitif seperti Justice for Zara.
“Saya menyerahkan kepada pihak berkuasa termasuk PDRM dan SKMM untuk mengambil tindakan segera terhadap pihak-pihak yang terlibat. Saya tidak pernah menghantar mesej yang ditularkan itu. Ia adalah fitnah yang direka dengan niat jahat untuk menjatuhkan saya serta mengganggu ketenteraman awam. Kebenaran tetap akan mengatasi kebatilan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nizam berkata beliau mengambil maklum mengenai himpunan Justice for Zara Qairina yang berlangsung di Tawau pada 31 Ogos lalu sebagai tanda solidariti masyarakat terhadap kematian tragis adik Zara.
Beliau menghormati hak masyarakat untuk menyuarakan keprihatinan dan menuntut keadilan, namun menyeru agar himpunan sedemikian tidak dicemari dengan ucapan atau tindakan yang melampaui batas undang-undang.
“Pihak polis telah pun bertindak berhubung insiden ucapan berunsur hasutan yang dilaporkan semasa perhimpunan tersebut, dan kita menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan. Apa yang lebih utama sekarang ialah memastikan fokus masyarakat tidak teralih daripada matlamat sebenar, iaitu mencari kebenaran, keadilan, dan penyelesaian jangka panjang demi keselamatan pelajar kita,” katanya.


































