Juliah bersama peserta program.
TUARAN: Rawatan kesuburan di klinik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di seluruh negara terbukti berkesan apabila sebanyak 6,249 kehamilan berjaya direkodkan melalui perkhidmatan rawatan tersebut, menurut laporan prestasi LPPKN bagi tahun 2024.
Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Hajah Juliah Salag yang juga Presiden Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA-GRS) berkata, seramai 29,163 individu telah mendapatkan rawatan di klinik LPPKN di seluruh negara.
Sehubungan itu, katanya, LPPKN melaksanakan Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Ketidaksuburan (BuAI) yang menyasarkan 30,000 pasangan untuk mendapat manfaat secara langsung.
“Daripada jumlah ini, seramai 1,300 pasangan akan menerima pembiayaan bagi maksimum dua kitaran rawatan Intrauterine Insemination (IUI). Program ini juga menekankan advokasi awal melalui kempen ‘The Sooner, The Better’ yang menggalakkan pasangan mendapatkan pemeriksaan dan rawatan seawal mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Prihatin: Dari Keluarga ke Komuniti sempena pelancaran Program Bantuan Kesuburan dan Advokasi Ketidaksuburan (BuAI) peringkat negeri Sabah di Dewan Sri Sulaman, di sini, hari ini.
Majlis hari ini merupakan penutup siri program yang dianjurkan di seluruh negeri oleh LPPKN dengan kerjasama MUTIARA-GRS.
Sementara itu, Juliah berkata, menurut laporan Kementerian Kesihatan (KKM), dianggarkan satu daripada enam pasangan berkahwin di Malaysia menghadapi masalah kesuburan, satu statistik yang menunjukkan isu subfertiliti bukan masalah terpencil yang hanya melibatkan segelintir individu.
“Sebaliknya, ia merupakan cabaran yang semakin meningkat dalam kalangan pasangan muda masa kini. Oleh itu, usaha advokasi dan bantuan klinikal amat penting agar pasangan ini tidak berasa terpinggir,” katanya.
“Saya berbangga kerana hari ini kita dapat bersama peserta dari kawasan Sulaman, Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu yang menyertai program ini. Ini membuktikan komitmen masyarakat kita dalam membincangkan isu yang sangat penting, iaitu kesuburan dan kesejahteraan keluarga,” katanya.


































