KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah telah menahan dua individu, masing-masing seorang penjawat awam dan seorang pesara kerajaan kerana disyaki pecah amanah berjumlah kira-kira RM 303,000.
Menurut sumber, kedua-dua suspek yang terdiri daripada seorang lelaki dan seorang Wanita berusia lingkungan 40 hingga 60-an itu telah ditahan kira-kira jam 12 tengah hari tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah Cawangan Lahad Datu.
“Kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut sekitar Julai 2020 sehingga Februari 2021 semasa bertugas di sebuah agensi kerajaan di negeri ini (Sabah).
“Siasatan awal juga mendapati kedua-dua suspek dipercayai telah menyalahgunakan harta iaitu lapan (8) set baucar bayaran kepada buruh asing berjumlah kira-kira RM303,000 sedangkan buruh asing tersebut tidak menerima bayaran tersebut.,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd. Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.


































