PETALING JAYA: Banduan lelaki yang menghilangkan diri ketika menjalani Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) di Desa Coalfields, Sungai Buloh pada Jumaat lalu dipercayai masih berada dalam negara.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya melancarkan Op Kesan selepas menerima maklumat berhubung tindakan suspek yang dipercayai melarikan diri ketika masih dalam tempoh parol.
“Sekiranya ada pihak yang mengesan suspek, maklumat boleh disalurkan segera kepada pihak penjara atau polis.
“Polis juga sudah menubuhkan pasukan khas untuk mengesan suspek dan kita percaya dia masih berada dalam negara,” katanya ketika dihubungi kelmarin.
Beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek sebenarnya berada di fasa akhir parol dan hanya tinggal sedikit masa sahaja sebelum dibebaskan sepenuhnya.
“Difahamkan suspek berada di penghujung tempoh hukuman, secara tidak langsung tindakannya ini amat merugikan dirinya sendiri.
“Kita minta supaya suspek segera menyerah diri dan diingatkan usaha mengesan suspek telah digerakkan meliputi setiap sudut,” jelasnya.
Sebelum ini, seorang banduan lelaki dilaporkan hilang ketika mengikuti PBSL di Desa Coalfields pada Jumaat lalu.






























