Tun Musa ( tengah) bersama Christina (tiga dari kiri) dan rombongan.
KOTA KINABALU: Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah Tahun 2025 di Padang Merdeka pada 16 September ini dijangka meriah dengan pelbagai acara menarik termasuk pertunjukan bunga api sebagai acara kemuncak.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Panglima Christina Liew berkata, sambutan tahun ini lebih istimewa dengan pelbagai acara menarik telah dirancang yang dijangka menarik kehadiran kira-kira 20,000 pengunjung termasuk masyarakat setempat dan pelancong.
“Setiap tahun Sambutan Hari Malaysia amat istimewa kerana memperingati pembentukan Malaysia, sama ada di Semenanjung, Sarawak ataupun di Sabah, kita semua meraikannya bersama.
“Kita menanti-nantikan program yang penuh warna-warni dengan pelbagai aktiviti dan persembahan menarik, manakala pertunjukan bunga api akan menjadi kemuncak sambutan,” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Selasa.
Menurut Christina, kunjungan berkenaan bertujuan untuk menjemput Tun Musa bagi merasmikan sambutan
Hari Malaysia dan beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan tersebut menyeru orang ramai untuk hadir bersama-sama memeriahkan acara itu.
“Bagi mengetahui sendiri aktiviti-aktiviti menarik yang disediakan, orang ramai dijemput hadir ke Padang Merdeka pada 16 September.
“Harapan saya agar negeri Sabah terus harmoni dan aman dengan masyarakat yang berbilang kaum” jelasnya.
Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Josie Lai.
































