Seorang anggota polis berdiri sambil memegang pembesar suara ketika bangunan pejabat Majlis Perwakilan Rakyat Daerah Wilayah Nusa Tenggara Barat dibakar oleh penunjuk perasaan di Mataram, Pulau Lombok, Nusa Tenggara Barat.
JAKARTA: Selepas Thailand dan Kemboja, kini Indonesia pula bergolak dengan kedudukan Presiden, Prabowo Subianto semakin diuji di tengah-tengah kerapuhan pemerintahannya yang terus menggugat kestabilan negara.
Menurut Utusan Malaysia, gelombang protes ganas sejak minggu lalu ekoran kemarahan rakyat yang tertekan dengan kenaikan elaun mewah ahli Parlimen bertukar menjadi krisis nasional ekoran kematian tragis seorang penunggang penghantaran makanan pada Khamis lalu.
Penganalisis memberi amaran krisis ini juga menjadi medan ujian terbesar Prabowo sejak memegang tampuk kuasa dan boleh mencetuskan kesan domino yang akhirnya mengancam pentadbiran beliau sekiranya kerajaan gagal bertindak tegas.
Sama ada beliau mampu meredakan kemarahan rakyat melalui reformasi menyeluruh, atau berisiko melihat tempoh pemerintahannya berakhir lebih awal daripada dijangka, malah tidak mustahil berdepan desakan meletak jawatan jika krisis terus berlarutan.
Protes merebak
Pada pagi Jumaat, Prabowo menyeru siasatan penuh dijalankan terhadap keganasan polis dan memohon orang ramai bertenang, namun gesaan itu gagal meredakan keadaan.

Beberapa penganalisis menyifatkan kenyataan Presiden itu hanya formaliti dan tidak memadai bagi meredakan kemarahan rakyat yang sudah ‘mendidih’.
Di Jakarta, kesan kerosakan jelas kelihatan keesokan harinya dengan rangka kereta yang hangus bertaburan di hadapan ibu pejabat Briged Mobil di Kwitang dengan pondok polis turut dibakar, manakala pagar Parlimen diconteng dengan grafiti anti-polis.
Rusuhan turut berlaku di Makassar, dengan empat orang terbunuh selepas bangunan Parlimen wilayah dibakar sementara di Malang, Surabaya, Bandung, Solo dan Yogyakarta, balai polis diserang dan beberapa kenderaan dibakar.
Pada pagi Sabtu, pertempuran kecil berlaku di luar ibu pejabat Briged Mobil di Kelapa Dua, Depok, Jawa Barat, menyaksikan polis melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan puluhan penunggang motosikal yang berhimpun.
Di luar Jakarta, demonstrasi turut tercetus di beberapa bandar lain di Indonesia sebagai tanda marah atas kematian Affan Kurniawan, 21, pada malam Khamis selepas dilanggar kenderaan perisai polis yang digunakan untuk menyuraikan penunjuk perasaan ketika dia sedang menghantar pesanan makanan.
Di Malang, sebuah bandar di Jawa Timur, pasukan CNA mendapati kesan protes di beberapa pos polis tempatan dengan sekurang-kurangnya empat daripadanya rosak teruk dan dibakar.
Di satu pos, tingkap pecah dan papan tanda dimusnahkan dan tentera dilihat berada di lokasi membersihkan kaca pecah, perabot rosak serta serpihan bangunan.
Sementara itu, keadaan di Jakarta dan beberapa kawasan lain di Indonesia masih sangat tegang, dengan kemungkinan berlakunya pertempuran baharu pada bila-bila masa.
Kematian Affan, kenyataan Sahroni burukkan keadaan
Penganalisis berkata, kenaikan elaun perumahan anggota Parlimen kepada 50 juta rupiah (RM12,893) yang hampir 10 kali ganda gaji minimum di Jakarta berlaku pada ketika rakyat Indonesia bergelut dengan langkah penjimatan kerajaan, peluang pekerjaan yang terhad dan ancaman pemberhentian kerja besar-besaran.
Beberapa anggota Parlimen pula memberikan kenyataan yang dianggap tidak wajar terhadap protes rakyat.

Ahli Parlimen dari Parti Demokratik Nasional (Nasdem), Ahmad Sahroni melabel mereka yang menuntut pembubaran Parlimen sebagai ‘manusia paling bodoh di dunia’ hingga menyebabkan rumahnya diserbu dan dipecah masuk perusuh.
Penganalisis Politik Universitas Multimedia Nusantara, Ambang Priyonggo berkata, kematian Affan pula menyalakan semula api protes, mengubah tuntutan daripada menentang kenaikan elaun anggota Parlimen yang dianggap tidak sensitif terhadap kesusahan rakyat kepada penentangan lebih meluas terhadap kekejaman polis.
“Peningkatan ketegangan ini sudah dijangka. Ini adalah hasil kekecewaan rakyat terhadap elit politik yang dasar-dasarnya tidak mengutamakan rakyat, ditambah dengan kematian Affan yang semakin menyemarakkan ketegangan,” katanya.
Penganalisis Politik Institut Trias Politika, Agung Baskoro berkata, Parlimen juga gagal memainkan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan, menyebabkan rakyat yang tidak puas hati dengan dasar Prabowo merasa tidak diwakili.
Daripada 580 kerusi di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), 470 atau 81 peratus dipegang oleh parti-parti dalam gabungan pemerintah Prabowo.
“Majoriti yang besar ini menjadikan anggota Parlimen leka.
“Mereka tidak lebih daripada sekadar cop mohor kepada kerajaan. Jika fungsi pengawasan, perundangan, pembiayaan dan perwakilan berjalan seperti sepatutnya, rakyat tidak akan turun ke jalan berulang kali,” katanya.
Penganalisis juga menekankan pentadbiran Prabowo perlu memperbaiki cara berkomunikasi dengan rakyat untuk mengelak kenyataan yang hanya membakar kemarahan.
Reformasi menyeluruh terhadap polis turut dituntut oleh Gabungan Masyarakat Sivil, sebuah payung kepada ratusan organisasi sivil di Indonesia.
Penganalisis Politik Badan Pemikir Lingkar Madani, Ray Angkut berkata, Prabowo juga perlu mendorong reformasi birokrasi yang lebih luas, bermula dengan menyingkirkan timbalan menteri yang pada masa sama berkhidmat sebagai pesuruhjaya di syarikat milik negara.
Ketika ini, 30 daripada 56 timbalan menteri memegang jawatan pesuruhjaya di pelbagai syarikat milik negara kerana peranan ini bersifat konsultasi tetapi tidak terlibat secara langsung dalam operasi, yang dianggap membebankan bajet negara.
Khamis lalu, Mahkamah Perlembagaan Indonesia memutuskan mengharamkan timbalan menteri memegang jawatan itu serentak, memberi kerajaan tempoh dua tahun untuk melaksanakan keputusan berkenaan.


































