Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Sabah berjaya meraih kejuaraan kategori Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
KOTA KINABALU: Pasukan Komander Kesatria UiTM Cawangan Sabah sekali lagi membuktikan keunggulan mereka apabila dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Perbarisan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2025.
Komander Kesatria tampil dengan persembahan penuh disiplin, kekemasan formasi, dan semangat patriotik tinggi sehingga berjaya memikat hati barisan juri. Kejayaan tersebut sekaligus mengekalkan reputasi pasukan berkenaan sebagai antara kontinjen terbaik dalam kategori perbarisan jalan laju bagi kategori Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).
Naib Juara bagi kategori tersebut disandang oleh MAHSA College Sabah manakala Petronas Briged Bomba Kimanis Petroleum Training Centre menduduki tempat ketiga bagi kategori IPTA/IPTS.
Sementara itu, kategori Jabatan Kerajaan Berpakaian Seragam Rasmi pula, Jabatan Perhutanan Sabah muncul juara diikuti Majlis Perbandaran Sandakan di tempat kedua dan Jabatan Tanah dan Ukur Sabah di tempat ketiga.
Bagi kategori Jabatan Kerajaan Tidak Berpakaian Rasmi, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan Alam Sekitar (KEPKAS) dinobatkan juara diikuti Dewan Bandaraya Kota Kinabalu di tempat kedua dan Kementerian Kerja Raya Sabah di tempat ketiga.
Turut menjuarai bagi kategori masing-masing, SK Tobobon bagi kategori Sekolah Rendah, Kadet Koreksional Negeri Sabah bagi kategori Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Lembaga Pelabuhan- Pelabuhan Sabah bagi kategori Swasta atau Komersial, Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Sabah (kategori Pertubuhan Bukan Kerajaan) (NGO) dan Persatuan Kebudayaan Kesenian dan Warisan Bajau Tabawan Sabah(SABATA) bagi kategori Pertubuhan Etnik Sabah.
Pertandingan yang berlangsung di Padang Merdeka, Kota Kinabalu itu menghimpunkan pelbagai kontinjen terdiri daripada jabatan kerajaan, agensi keselamatan, badan beruniform serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memeriahkan perarakan rasmi sambutan tersebut.
Majlis Penyampaian Hadiah disempurnakan oleh Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK),Datuk Seri Sabin Samitah yang turut menyampaikan wang tunai RM1500 , piala iringan beserta sijil penghargaan kepada para pemenang.






























