JAKARTA: Ribuan penunjuk perasaan sekali lagi turun ke jalanan di seluruh Indonesia pada Isnin, susulan kemarahan rakyat terhadap kemewahan elaun ahli Parlimen yang mencetuskan protes besar-besaran dengan enam nyawa dilaporkan terkorban.
Menurut Utusan Malaysia, situasi itu menyebabkan kerajaan mengerah tentera ke ibu kota Jakarta.
Sekurang-kurangnya 500 orang berhimpun di hadapan bangunan parlimen di Jakarta pada petang Isnin, diperhatikan puluhan anggota polis. Tentera yang berada di lokasi sejak awal hari dilaporkan berundur selepas beberapa jam.
Di lokasi lain, ribuan lagi menyertai protes di Palembang, Sumatera, manakala ratusan berhimpun secara berasingan di Banjarmasin (Kalimantan), Yogyakarta (Pulau Jawa), dan Makassar (Sulawesi), menurut laporan wartawan AFP dari seluruh negara.
“Matlamat utama kami adalah untuk melakukan reformasi Parlimen. Kami mahu mereka keluar dan berjumpa kami. Mereka sepatutnya mewakili kami.
“Mereka mahu tunggu darurat tentera diisytihar dulu baru bertindak?,” kata Nafta Keisya Kemalia, 20, seorang penuntut universiti kepada AFP di luar bangunan Parlimen.
Protes tercetus minggu lalu apabila rakyat mendapat tahu mengenai elaun perumahan ahli Parlimen yang dilaporkan hampir 10 kali ganda gaji minimum di Jakarta, menyebabkan kemarahan meluas.
Kemarahan itu memaksa Presiden Prabowo Subianto dan pemimpin parlimen menarik balik cadangan tersebut.
Protes yang pada awalnya berlangsung aman bertukar ganas selepas rakaman video tular menunjukkan anggota unit elit polis paramilitari melanggar Affan Kurniawan, seorang penunggang penghantaran berusia 21 tahun, lewat malam Khamis. Affan meninggal dunia akibat insiden itu, yang menjadi titik tolak kebangkitan lebih ramai rakyat.
Polis turut menubuhkan beberapa sekatan jalan di seluruh Jakarta pada Isnin, dengan pasukan keselamatan dan tentera mengadakan rondaan besar-besaran.
Penembak tepat turut ditempatkan di lokasi strategik, manakala jalan raya yang biasanya sesak dilaporkan lebih lengang daripada biasa.
Ratusan askar berkampung di sekitar Monumen Nasional (Monas) dan beberapa lagi ditempatkan berhampiran Istana Presiden, menurut wartawan AFP di lokasi.
Susulan ketegangan, sekolah dan universiti di Jakarta beralih kepada pembelajaran dalam talian sekurang-kurangnya sehingga Selasa, manakala penjawat awam di ibu kota diarahkan bekerja dari rumah.
Gelombang protes ini merupakan krisis terbesar sejak Prabowo mengambil alih tampuk pemerintahan, dan mencerminkan ketidakpuasan rakyat terhadap elit politik serta tekanan ekonomi seperti kenaikan kos sara hidup, cukai hartanah yang membebankan, dan pengurangan subsidi kerajaan.


































