Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Penyusunan semula ekonomi global perlu ‘digarap’ dan ‘ditulis’ negara Asia.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, situasi ekonomi global yang mengalami perubahan dan disusun mengikut acuan barat memberi petunjuk jelas agar negara Asia terus bekerjasama.
Katanya, pelaksanaan tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini turut dilihat sebagai ‘persenjataan perdagangan’ yang memerlukan Asia bertindak.
“Apabila berlakunya penyusunan semula yang ‘ditulis’, Asia bukan pengarangnya.
“Justeru, kita bertanggungjawab memastikan bab seterusnya ditulis dengan bahasa Asia, dakwatnya juga,” katanya dalam sesi syarahan di Universiti Tianjin, China hari ini.
Anwar berkata, jangkaan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) terhadap pemecahan perdagangan dan penyahgandingan teknologi boleh menyebabkan beberapa negara berdepan kerugian sehingga 12 peratus daripada pendapatan mereka.
Menurutnya, ekonomi yang sedang meningkat naik juga berpotensi terkesan.
Anwar berkata, saling kebergantungan antara negara mampu memastikan keamanan dan kestabilan global.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, keputusan Malaysia mengiktiraf Republik Rakyat China pada 1974 adalah langkah berani berlandaskan keyakinan pada masa depan, yang berkembang menjadi kepercayaan.
“Setiap pertemuan saya dengan Presiden Xi Jinping mengukuhkan kefahaman bahawa meskipun berbeza dari segi saiz, kedua-dua negara mampu berdiri setara dengan penuh hormat dan keikhlasan.
“Daripada asas inilah lahir kerjasama merangkumi projek infrastruktur yang menghubungkan ekonomi, kerjasama tenaga hijau dan ekonomi digital, malah kemudahan perjalanan antara rakyat kedua-dua negara. Dalam suasana dunia yang penuh ketidaktentuan, keikhlasan persahabatan ini menjadi sesuatu yang amat berharga.
“Hari ini kita menyaksikan tatanan dunia yang kian goyah. Peraturan dagangan berubah sesuka hati, kawalan eksport diumum dan ditarik balik sekelip mata dan perpecahan menjadi pilihan,” katanya.
Anwar tiba di Tianjin semalam bagi memulakan lawatan kerja empat hari termasuk menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) 2025.
Pesawat yang membawa Perdana Menteri berlepas dari Kuala Lumpur selepas menghadiri sambutan Hari Kebangsaan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tianjin Bihai pada pukul 5.27 petang, disambut dengan kawalan kehormatan seramai 36 anggota.
































