PETALING JAYA: Lebih RM50 juta dibelanjakan 850,000 rakyat pada hari pertama pelaksanaan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan semalam berkata, berikutan jumlah penggunaan terlalu tinggi, sistem mengalami transaksi mendadak.
“Susulan daripada itu, sistem terminal pembayaran yang dikendalikan melalui rangkaian MyKasih mengalami penurunan prestasi yang ketara di beberapa lokasi.
“Walaupun sistem beroperasi dengan lebih perlahan, transaksi masih diterima dan diproses,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemberian bersempena Hari Kebangsaan 31 Ogos itu, adalah ikhtiar segera bagi meringankan beban sara hidup, selain sebagai penghargaan kepada rakyat yang memberi manfaat kepada 22 juta penduduk dengan peruntukan RM2 bilion.
Berikutan itu, MOF dan MyKasih mengambil langkah bagi meningkatkan kapasiti sistem supaya rakyat dapat terus membuat pembelian melalui SARA dengan lancar tanpa gangguan.
“Bagi memastikan sistem kembali stabil dan bersedia untuk rakyat meneruskan perbelanjaan melalui SARA hari ini, pihak MyKasih akan melaksanakan kerja penyelenggaraan sistem malam tadi.
“Pihak kementerian memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami pengguna dan akan terus memantau pelaksanaan inisiatif ini berjalan lancar,” jelasnya
Dalam pada itu, kementerian itu juga berkata, bilangan transaksi semalam adalah jauh lebih tinggi daripada pengalaman sebelum ini.
“Sehingga Sabtu lalu, pelaksanaan bulanan SARA dapat mengendalikan purata transaksi harian sekitar 600,000 transaksi sehari.
“Kementerian juga ingin mengingatkan bahawa kredit RM100 ‘one-off’ Penghargaan SARA ini kekal sah sehingga 31 Disember dan boleh digunakan di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara,” katanya.






























