Anwar Ibrahim tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bianhai Tianjin untuk memulakan lawatan kerja empat hari ke China. – Facebook Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Tianjin, China hari ini bagi memulakan lawatan kerja empat hari termasuk menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) 2025.
Menurut Utusan Malaysia, pesawat yang membawa Perdana Menteri berlepas dari Kuala Lumpur selepas menghadiri sambutan Hari Kebangsaan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tianjin Bihai pada jam 5.27 petang, disambut dengan kawalan kehormatan seramai 36 anggota.
Ketibaan beliau disambut Menteri Pertanian China, Han Jun; Pengerusi Persidangan Perundingan Politik Rakyat China (CPPCC) Tianjin, Wang Chang Song dan Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujin.
Anwar berkata, lawatan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkukuh persahabatan Malaysia-China serta melonjak kerjasama pelaburan, perdagangan dan sektor lain demi kesejahteraan rakyat Malaysia.
“Alhamdulillah, selamat tiba di Tianjin petang tadi untuk mengetuai delegasi Malaysia dalam rangka lawatan kerja empat hari ke China atas undangan Presiden Xi Jinping.
“InsyaAllah saya akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Xi dan mesyuarat dua hala dengan Premier Li Qiang, selain berucap di Sidang Kemuncak SCO,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sejurus ketibaan, rombongan Perdana Menteri menuju ke Pusat Konvensyen Meijiang Tianjin bagi menghadiri Majlis Makan Malam Sidang Kemuncak SCO 2025 yang dianjurkan oleh Presiden China, Xi Jinping.
Antara pemimpin dunia yang turut dijangka hadir ialah Presiden Russia, Vladimir Putin; Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
Sidang Kemuncak SCO 2025 dijangka menjadi perhimpunan terbesar dalam sejarah dengan lebih 20 pemimpin asing dan 10 ketua organisasi antarabangsa dijangka hadir.
Lawatan ini merupakan lawatan keempat Anwar ke China sejak 2023 dan dianggap signifikan kerana beliau dijangka menjadi Perdana Menteri Malaysia pertama yang menghadiri dan menyampaikan ucapan di Sidang Kemuncak SCO.
Beliau juga dijangka menjadi Perdana Menteri Malaysia pertama yang menghadiri Perbarisan Hari Kemenangan tahunan China sempena memperingati tamatnya Perang Dunia Kedua di Dataran Tiananmen, Beijing.
Anwar turut dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Xi dan Perdana Menteri Li Qiang pada 2 September bagi membincangkan hala tuju hubungan Malaysia-China, hubungan serantau, perdagangan, pelaburan serta hubungan rakyat antara kedua-dua negara.
Beliau dijangka menyuarakan sokongan terhadap idea ‘Komuniti Strategik Peringkat Tinggi Malaysia-China dengan Masa Depan Bersama’ yang dibangkitkan Xi semasa lawatan beliau ke Malaysia pada Mei lalu.
Selain itu, Perdana Menteri akan menghadiri majlis makan malam rasmi anjuran kerajaan China dan menyampaikan syarahan umum bertajuk “Saling Bergantung Secara Berdaulat: Membina Masa Depan Bersama di Asia” di Universiti Tianjin kepada kira-kira 500 peserta.
Beberapa siri pertemuan perniagaan dengan tokoh industri dan pengasas syarikat multinasional turut dijadual berlangsung di Tianjin dan Beijing.


































