Sebahagian senjata dan peluru yang dirampas dari seorang rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Thailand di Songkhla petang tadi.
PETALING JAYA: Seorang rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Thailand hari ini bersama senjata api perang jenis M4 dan ratusan butir peluru dalam kereta yang dipandunya di Sadao, Songkhla,.
Menurut Utusan Malaysia, suspek berusia 46 tahun ditahan pada pukul 5.35 petang tadi ketika sekatan jalan raya yang dijalankan oleh anggota Balai Polis Daerah Sadao.
Sumber berkata, sekatan jalan raya itu dijalankan sebagai sebahagian daripada operasi pencegahan jenayah penyeludupan dadah serta ancaman keselamatan.
“Pemeriksaan ke atas kenderaan jenis Kia bernombor pendaftaran Malaysia itu menemui dua laras raifal M4; 300 butir peluru kaliber 5.56 mm; tujuh magazin peluru 5.56 mm; 100 butir peluru kaliber .45 mm dan 50 butir peluru kaliber 9 mm.
“Semua senjata dan peluru berkenaan telah dirampas sebagai barang kes untuk siasatan lanjut,” katanya.
Difahamkan, polis Thailand kini masih menyiasat tujuan sebenar pemilikan senjata perang dan peluru dalam jumlah besar itu.
Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah ketika dihubungi mengesahkan seorang rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Thailand itu.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sudah dimaklumkan berhubung penahanan itu.
Biar pihak berkuasa Thailand siasat terlebih dahulu kerana kita masih belum mengetahui tujuannya, sama ada untuk digunakan di sana atau dibawa masuk ke negara ini,” katanya.


































