WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengarahkan pemotongan hampir AS$5 bilion (RM21 bilion) bantuan asing yang diluluskan Kongres, sekali gus meningkatkan kemungkinan penutupan Kerajaan Persekutuan apabila dasar itu ditentang Demokrat.
Menurut Utusan Malaysia, Rumah Putih dalam kenyataan kelmarin memaklumkan, sebanyak AS$4.9 bilion (RM20.7 bilion) pemotongan itu melibatkan program Jabatan Negara dan Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (USAID).
Menurut Pejabat Pengurusan dan Belanjawan Rumah Putih, Trump dalam surat kepada Dewan Perwakilan menegaskan akan sentiasa meletakkan Amerika sebagai keutamaan.
Bagaimanapun, Demokrat memberi amaran sebarang langkah membatalkan pembiayaan yang diluluskan Kongres akan menjejaskan rundingan untuk mengelakkan lumpuh belanjawan atau penutupan kerajaan hujung tahun ini.
Ketua minoriti Demokrat di Senat AS, Chuck Schumer, menyifatkan taktik perundangan Trump yang secara teknikalnya dikenali sebagai tindak balas poket, sebagai tidak sah.
“Jelas sekali Trump mahupun Republikan di Kongres tidak mempunyai sebarang rancangan untuk mengelakkan penutupan kerajaan yang menyakitkan serta sama sekali tidak perlu,” katanya.
Beberapa anggota Republikan turut menentang usaha Trump untuk menghentikan perbelanjaan yang sudah diluluskan penggubal undang-undang.
Seorang pegawai Rumah Putih memberitahu pemberita, pentadbiran mempunyai asas undang-undang kukuh untuk gerakan Trump dan sebarang cabaran di mahkamah akan gagal.
Sejak memegang jawatan, Trump hampir ‘melumpuhkan’ sepenuhnya USAID, agensi bantuan kemanusiaan terbesar di dunia.
USAID yang ditubuhkan pada 1961, kini digabungkan ke dalam Jabatan Negara AS selepas Setiausaha Negara, Marco Rubio, mengurangkan 85 peratus programnya.
Kajian diterbitkan dalam jurnal The Lancetpada Jun lalu menganggarkan pusingan pemotongan USAID sebelum ini berisiko mengakibatkan 14 juta kematian yang boleh dielakkan di seluruh dunia, dengan satu pertiga daripadanya kanak-kanak.


































