LONDON: Seorang lelaki di Britain mendakwa hidup dalam keadaan berjaga sepanjang masa sejak dua tahun lalu selepas mengalami gangguan misteri yang menyebabkan dirinya langsung tidak dapat tidur, walaupun selepas mengambil ubat pelali yang kuat.
Oliver Alvis, 32, yang sebelum ini menjalani kehidupan normal sebagai konduktor kereta api, berkata episod insomnia yang disangka sementara itu kini bertukar menjadi ‘neraka’ berpanjangan yang hampir meragut semangat hidupnya.
“Saya tidak sekadar kurang tidur – tidur saya hilang sepenuhnya.
“Saya tidak rasa mengantuk, tidak tertidur, dan kekal sedar sepanjang masa. Siang bersambung ke malam tanpa henti, dan ia benar-benar menyeksa jiwa,” katanya kepada Mail Online.
Alvis mengakui hidupnya kini musnah akibat gangguan itu dan akibat tidak tidur selama hampir dua tahun, tubuhnya kini lemah dan sukar berfungsi.
Otot dan tulangnya sentiasa sakit, matanya seperti hendak keluar dari soket, penglihatan semakin kabur, dan pergerakan menjadi tidak seimbang malah, sistem pencernaannya juga terjejas.
Dalam usaha mencari jawapan, Alvis menjual rumahnya dan berpindah semula ke rumah ibunya.
Beliau menghabiskan banyak wang mengembara ke India, Itali, Turkiye, dan Colombia untuk mendapatkan rawatan, termasuk mencuba pelbagai ubat, terapi, malah herba berhalusinasi, tetapi semuanya menemui jalan buntu.
Alvis juga pernah diberi ubat pelali kuat oleh beberapa doktor, namun ubat tersebut gagal membuatkannya tidak sedar dan kini, dia buntu dan merayu mana-mana saintis atau pakar yang mungkin tahu punca keadaannya untuk tampil membantu.
Kesnya tular di media sosial, mencetuskan perdebatan hangat antara mereka yang mempercayai pengakuannya dan mereka yang berpendapat mustahil secara biologi seseorang boleh hidup tanpa tidur selama dua tahun.
Beberapa pakar mencadangkan Alvis mungkin mengalami paradoxical insomnia, keadaan apabila seseorang merasakan dirinya tidak tidur walaupun otak sebenarnya berada dalam fasa tidur ringan namun, diagnosis ini tidak meringankan penderitaannya yang berterusan.
Kajian ke atas haiwan menunjukkan kekurangan tidur ekstrem boleh membawa maut, dengan anjing mati dalam tempoh 17 hari tanpa tidur, manakala tikus dalam tempoh 32 hari namun, kekurangan data terhadap manusia kerana faktor etika menjadikan kes Alvis satu misteri yang sukar dirungkai.
































